Wajarkah Cheng Hoe dipersalahkan?

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

SETELAH dikecam hebat susulan kegagalan skuad negara pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, akhirnya Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuktamadkan keputusannya meletak jawatan.

Cheng Hoe menerima desakan melepaskan jawatan jurulatih yang disandangnya bermula selaku penolong jurulatih sejak lebih sedekad lalu sebelum diberikan tanggungjawab ketua jurulatih sejak 2018.

Desakan agar Cheng Hoe meletak jawatan sudah mula kedengaran sejak kegagalan skuad negara pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Desakan sama terus kedengaran susulan kekalahan 0-4 skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan Tier 1 berdepan Jordan dan Uzbekistan (1-5) pada Oktober yang disifatkan sebagai proses menyediakan pasukan beraksi bagi Piala Suzuki AFF 2020.

Timbul persoalan, adakah kegagalan skuad Harimau Malaya kali ini wajar diletakkan 100 peratus hanya kepada Cheng Hoe seorang?

Apakah peletakan jawatannya mampu menyelesaikan banyak perkara terutama melibatkan masalah kemerosotan prestasi skuad negara?

Bagaimana pula dengan kakitangan skuad negara yang lain? Apakah peletakan Cheng Hoe dapat ‘menutup’ kesilapan-kesilapan sama yang berlaku berulang kali?

Skuad Harimau Malaya menyertai Piala Suzuki AFF 2020 dengan persiapan paling minimum susulan pandemik.

Artikel Berkaitan:

Ia menyaksikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) terganggu dan terpaksa ditangguhkan beberapa kali termasuk beberapa pindaan jadual perlawanan dibuat bagi memastikan saingan musim ini dapat diteruskan dan ditamatkan dengan sempurna.

Situasi itu telah menyebabkan persiapan skuad negara terganggu dengan menyaksikan tiada aksi persahabatan dianjurkan.

Kem negara dilanda Covid-19

Malah, kesemua pemain dalam senarai akhir ke Piala Suzuki AFF hanya sempat berkumpul setelah tamat saingan TM Piala Malaysia pada 30 November dan terus berlepas ke Singapura bagi menyertai kejohanan dwi tahunan berkenaan yang disifatkan sebagai ‘Piala Dunia’ bagi rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, keadaan itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang membandingkan persiapan skuad negara dengan pasukan lain yang turut terkesan pandemik.

Persoalan itu timbul apabila menyaksikan barisan pemain yang mewakili negara kali ini menampilkan beberapa muka baharu.

Apa pun, perlu diingat prosedur operasi standard (SOP) setiap negara berbeza. Jika skuad negara berdepan kekangan tetapi keadaan itu tidak berlaku kepada pasukan lain.

Mereka dapat melakukan persiapan secukupnya termasuk sempat mengadakan aksi persahabatan.

Selain itu, persoalan lain turut timbul apabila hanya 24 pemain dibawa ke Singapura sedangkan pihak penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) membenarkan setiap pasukan mendaftar seramai 30 pemain.

Akibatnya, kem negara menerima kejutan apabila empat pemain utama disahkan positif Covid-19, sekali gus menyaksikan hanya 20 pemain menggalas tanggungjawab mengharungi kejohanan.

Kegagalan skuad negara di Piala Suzuki AFF 2020 sebenarnya turut merujuk kepada kegagalan pemain-pemain naturalisasi negara yang sehingga hari ini dilihat tidak beraksi sebagaimana diharapkan.

Prestasi hambar atau mungkin boleh dilabel lebih teruk daripada itu telah dipamerkan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 Jun lalu dan berterusan sehingga saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Justeru, mengapa tidak dipersoalkan mengenai pemilihan pemain-pemain berkenaan yang rata-ratanya telah mencecah usia pertengahan 30-an ketika ini? Siapa perlu dipertanggungjawabkan?

Dalam era bola sepak moden hari ini, kejayaan atau kegagalan pasukan tidak hanya melibatkan ketua jurulatih tetapi turut melibatkan pelbagai aspek lain.

Setiap perancangan memerlukan penglibatan banyak pihak bagi membantu pelaksanaan tugas ketua jurulatih, bukannya menukar jurulatih setiap kali pasukan gagal.

* Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Sukan Sinar Harian