Nafuzi yakin trio import Terengganu FC

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin tiga pilihan pemain import di jentera serangan akan memberi kelebihan dalam memburu jaringan bagi membantu pasukan meraih pencapaian lebih baik pada musim ini.

Selepas membawa masuk Tchetche Kipre yang berasal dari Ivory Coast dan Kpah Sherman (Liberia) dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, selain Jordan Mintah (Ghana) kekal bersama skuad Penyu, Nafuzi percaya dapat meningkatkan impak dalam pasukan, sekali gus mempunyai lebih banyak pilihan penyerang bagi musim 2022.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemain itu, mempunyai kelainan tersendiri dalam memperagakan aksi sambil menyifatkan mereka akan berdepan persaingan sihat untuk merebut tempat dalam pasukan.

"Apa yang pasti, saya mahu setiap pemain tidak kira yang baharu atau lama tetap bekerjasama untuk terus memberikan yang terbaik dalam mencipta keserasian terbaik menjelang saingan Liga Super musim ini.

“Mengenai persaingan antara mereka, saya ingin tegaskan kita akan ada musim yang panjang, jadi apa sahaja boleh berlaku dan saya teruja apabila kita akan sentiasa ada pemain yang bersedia untuk diturunkan dan pilihan yang lebih luas kali ini," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menilai dari segi keperluan dan cara bermain setiap pemain dalam memberikan peluang beraksi berdasarkan prestasi semasa mereka nanti.

Jurulatih berusia 44 tahun itu, turut tidak menolak pengajaran daripada musim lalu, apabila skuad Penyu bermula dengan konsisten pada awal musim, sebelum bergelut pada penghujung untuk menamatkan musim kempen di tangga keempat Liga Super 2021.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mahu prestasi pasukan kekal cemerlang dan tidak mahu perkara yang sama berulang pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau cakap pasal sasaran, saya hanya inginkan pasukan dapat berada di kedudukan yang lagi baik daripada musim lepas, itu sahaja," katanya.

Selain Sherman dan Kipre, TFC turut mengikat tiga pemain import baharu, iaitu pemain pertahanan Pape Diakite (Senegal), Luke Woodland (Filipina) serta bekas pemain tengah Melaka United, Manuel Ott (Filipina). - Bernama