TFC nafi wujud cadangan tukar jurulatih

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu FC (TFC) menafikan khabar angin mendakwa wujud cadangan daripada pihak kelab berkenaan untuk menggantikan ketua jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner dengan pengendali baharu.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman facebook TFC pada Selasa.

Ujar kenyataan itu, setakat ini tiada perbincangan mengenai pertukaran jurulatih yang dilakukan di peringkat kelab.

"Untuk makluman, proses untuk mencadang, menukar atau melantik jurulatih yang baharu bukan perkara yang mudah dan perlu dikaji dengan terperinci oleh Jawatankuasa Teknikal Terengganu FC (TFC).

"Ia juga perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan bukan hanya boleh dicadang dan dilaksanakan tanpa sebarang persetujuan daripada pihak atasan," kata kenyataan tersebut.

Jelasnya lagi, maklumat yang disebarkan mengenai pertukaran jurulatih itu dilihat sedikit sebanyak mengganggu persediaan serta perhubungan dalam kelab berkenaan.

"TFC tidak akan mengambil keputusan terburu-buru terutama melibatkan pengendali pasukan.

"Ketika ini, jawatankuasa teknikal kelab serta barisan kejurulatihan sedang dalam usaha bagi memperkemaskan pasukan untuk perlawanan Liga Super yang bakal bersambung pada 19 Mei ini serta membuat penyenaraian akhir pemain ingin dibawa masuk setelah jendela perpindahan dibuka Julai ini.

"Pihak TFC juga menyeru agar para penyokong atau mana-mana pihak tidak mudah terpengaruh serta menyebarkan berita yang tidak sahih seperti ini kerana ia dilihat mendatangkan impak yang kurang baik dalam perhubungan kelab ini," katanya.

Sebelum ini wujud desas desus mengaitkan dua nama jurulatih iaitu Irfan Bakti dan Aidil Shahrin yang dikatakan bakal menggantikan tempat bekas pengarah teknikal skuad Penyu itu menjelang pusingan kedua liga.