Gomez nafi tidak namakan Azam Baki dalam e-mel

Edmund Terence Gomez
Edmund Terence Gomez
A
A
A

SHAH ALAM - Pensyarah Ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez menafikan bahawa beliau tidak menamakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam e-melnya berkaitan salah laku membabitkan pegawai tertinggi agensi itu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai dakwaan dibuat oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah pada Selasa.

“Tan Sri Borhan menyatakan bahawa e-mel saya kepadanya tidak menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Perkara yang gagal didedahkan oleh Tan Sri Borhan ialah dalam e-mel saya, saya mempunyai lima lampiran dengan laporan dan maklumat mengenai hubungan perniagaan Tan Sri Azam secara langsung dan tidak langsung.

“Nama individu lain, termasuk seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini, turut disenaraikan dalam lampiran ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Gomez dilaporkan meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR pada Isnin kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Beliau menerusi surat peletakan jawatannya itu dilaporkan berkata, usaha untuk meminta panel tersebut bagi membincangkan isu tersebut telah dibuat menerusi tiga e-mel yang dihantar kepada Borhan bermula pada November lalu.

Susulan daripada itu, Borhan pada Selasa dilaporkan berkata, dua e-mel berkenaan yang dihantar sejak November lalu itu tiada langsung memperkatakan mengenai isu salah laku Azam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ahli ekonomi itu dalam e-mel tersebut menyatakan kebimbangannya mengenai SPRM yang sering dihentam pelbagai pihak dan meminta mesyuarat PPPR segera dibuat bagi membincangkan cara untuk mereka menyokong agensi penguat kuasa itu.