Polis Pulau Pinang rampas RM113.92 juta dadah tahun lalu

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta sepanjang sepanjang tahun lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM65.18 juta berbanding RM48.74 juta pada 2020.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan itu merupakan hasil peningkatan operasi, risikan dan kehadiran polis di lapangan.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu juga, seramai 7,688 orang ditahan membabitkan 1,976 di bawah kategori bekalan, 4,197 kategori pemilikan dan 1,515 kategori urin.

"Kita menjangka aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah akan terus agresif kerana ada permintaan dan tidak gerun dengan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Padang Tembak pada Rabu.

Bagaimanapun katanya polis akan meningkatkan risikan bagi membanteras aktiviti berkenaan yang dilihat antara penyebab berlakunya jenayah harta benda dan kekerasan.

Menurut beliau, polis kini sedang berusaha menjalankan strategi menangani penyalahgunaan dadah kerana kajian mendapati banyak kes membabitkan suspek yang mempunyai rekod berkaitan narkotik.

Mohd Shuhaily turut memberitahu, jenayah komersial turut menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang tahun lalu iaitu 225.4 peratus berbanding RM165 juta pada tahun 2021 membabitkan kerugian sebanyak RM537 juta.

"Ia termasuk kes yang disiasat iaitu sebanyak 3,209 kes pada tahun 2021 berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mangsa penipuan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, profesional, semi profesional, buruh, pelajar dan pekerja swasta.