Jumlah mangsa banjir berkurangan di empat negeri

Rakaman gambar menunjukkan perbandingan keadaan Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Negeri Sembilan terkini (atas) setelah banjir surut sepenuhnya manakala ketika banjir pada 1 Januari lepas (bawah) ekoran hujan lebat serta limpahan air sungai berdekatan. - Foto Bernama
Rakaman gambar menunjukkan perbandingan keadaan Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Negeri Sembilan terkini (atas) setelah banjir surut sepenuhnya manakala ketika banjir pada 1 Januari lepas (bawah) ekoran hujan lebat serta limpahan air sungai berdekatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan menunjukkan sedikit penurunan petang Selasa berbanding tengah hari tadi.

Sementara jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Selangor, Terengganu dan Sabah tidak banyak berubah setakat petang Selasa.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan kepada 5,588 mangsa setakat jam 4 petang Selasa berbanding 5,598 orang tengah hari Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata, tiga PPS ditutup iaitu masing-masing satu di Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“PPS Sekolah Agama Gemereh, Segamat yang menempatkan 78 mangsa ditutup jam 12 tengah hari Selasa manakala PPS Sekolah Kebangsaan Semanggar Kota Tinggi (23 mangsa) ditutup jam 1 tengah hari Selasa dan PPS Sri Sepakat, Batu Pahat (tujuh mangsa) ditutup jam 2 petang Selasa,” katanya.

Vidyananthan berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan PPS yang dibuka di Johor adalah 81 di tujuh daerah yang menempatkan 1,505 keluarga.

Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 4,105 orang, Mersing (546 orang), Tangkak (472), Kota Tinggi (131), Kluang dan Muar masing-masing 116 mangsa dan Batu Pahat (102), kata beliau.

Setakat ini, cuaca di Muar, Batu Pahat, Segamat, Mersing dan Tangkak adalah cerah manakala di Kluang dan Kota Tinggi cuaca mendung.

Artikel Berkaitan:

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan petang Selasa menjadi 2,265 orang di 35 PPS, berbanding 2,816 orang pada tengah hari Selasa.

Banjir gelombang kedua di Lipis yang bermula pada hari pertama tahun baharu pulih pada Selasa apabila 146 mangsa terakhir di enam PPS di daerah itu dibenarkan pulang petang Selasa, menjadikan daerah yang masih terjejas ialah Raub, Jerantut, Maran, Bera, Kuantan, Rompin, Temerloh dan Pekan.

Sebanyak 21 lokasi jalan tutup direkodkan antaranya di Jalan Bohor Baru dan Jalan Kemayan-Tembangau di Bera, Jalan Serengkam (Maran); Jalan Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Simpang Kuala Lipis dan Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau (Jerantut); Jalan Air Hitam (Kuantan); Jalan Bentong-Gua Musang (Bentong) dan Jambatan Benta dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Lipis).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan sungai yang masih melebihi paras bahaya ialah Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini di Pekan dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca hujan malam ini di Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 2,155 mangsa daripada 565 keluarga setakat jam 4 petang Selasa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA), Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin.

“Seramai 673 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah, 1,192 mangsa daripada 314 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 290 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di empat PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 1,666 individu membabitkan 462 keluarga dengan 16 PPS dibuka setakat petang ini berbanding 1,706 individu (478 keluarga) dengan 18 PPS tengah hari Selasa.

Sementara di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kekal di tahap bahaya sejak tengah hari Selasa dengan ketinggian 3.1 meter setakat 2 petang dan dalam tren menurun.

Jumlah mangsa banjir juga tidak berubah di TERENGGANU apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman petang Selasa.

PPS Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 3,377 mangsa banjir daripada 1,330 keluarga petang ini berbanding 3,318 mangsa banjir daripada 1,319 keluarga tengah hari Selasa.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu, semua mangsa banjir ditempatkan di 31 PPS di enam daerah terjejas banjir terletak di bahagian utara dan pantai timur negeri ini.

Daerah Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,659 mangsa daripada 1,115 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (307 mangsa, 127 keluarga, empat PPS), Telupid (228 mangsa, 48 keluarga, lapan PPS).

Sandakan (46 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, satu PPS) dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, tiga PPS).

Sementara itu, pemantauan sungai di Kota Marudu yang menjadi antara sebab kejadian banjir di daerah itu mendapati Sungai Tandek dan Sungai Bandar berada di bawah paras waspada manakala Sungai Bongon pada paras waspada.

Cuaca petang mendung dan hujan renyai di kawasan utara dan pantai timur, manakala cerah di kawasan pantai barat negeri ini.- Bernama