Syarikat lombong pasir di Pantai Pasir Panjang wajar dikena tindakan

Sebahagian penduduk dan NGO membantah aktiviti perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari pada Selasa.
Sebahagian penduduk dan NGO membantah aktiviti perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Pihak berkuasa di negeri ini digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang telah menjalankan perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari di sini.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pengusaha terbabit perlu memulihkan kembali hutan pesisir pantai yang menjadi habitat kepada penyu bertelur.

Menurutnya, kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu di sini merupakan kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu.

Meor Razak (kanan) menunjukkan lot kawasan perlombongan pasir yang berlaku di kawasan KSAS tahap satu yang juga habitat penyu bertelur di Pantai Pasir Panjang, Segari pada Selasa.
Meor Razak (kanan) menunjukkan lot kawasan perlombongan pasir yang berlaku di kawasan KSAS tahap satu yang juga habitat penyu bertelur di Pantai Pasir Panjang, Segari pada Selasa.

"Timbul persoalan adakah kegiatan pengambilan pasir tersebut dilakukan secara haram kerana ia bercanggah dengan Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN) dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) serta tidak mendapat kelulusan di bawah Enakmen Pengurusan Pesisir Pantai Perak 2016 dan tidak terdapat papan tanda kelulusan di tapak.

"Dalam tempoh sebulan kawasan ini sudah terang. Dapat dilihat pokok bernilai tinggi seperti balau laut dan tembusu berlonggok ditebang. Apabila aduan dibuat barulah kerajaan negeri ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Pantai Pasir Panjang di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan serta komuniti nelayan dari Kampung Sungai Gelam dan Kampung Semangat.

Meor Razak berkata, pihak berkuasa negeri seharusnya tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah di kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) tahap satu.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana kawasan pengambilan pasir ini tersebut dikategori sebagai KSAS tahap satu, adalah wajar kerajaan negeri mewartakan semula sebagai Hutan Simpanan Kekal atau lain-lain kawasan perlindungan.

Notis amaran daripada Majlis Perbandaran Manjung dilekatkan di pintu masuk tapak projek perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang di Segari.
Notis amaran daripada Majlis Perbandaran Manjung dilekatkan di pintu masuk tapak projek perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang di Segari.

"Kami juga berharap, kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai rancangan pemajuan terutama RFN yang menekankan kepada perlindungan kawasan KSAS," katanya.

Katanya, kawasan projek yang telah musnah itu merupakan Hutan Simpan Dara yang telah dinyah wartakan pada tahun 1989 kini masih lagi dihuni haiwan yang dilindungi serta spesies pokok terancam.

Sementara itu, penduduk, Rosima Saidin, 58, turut terkejut dengan kemusnahan hutan melibatkan kawasan pencarian hasil laut yang merupakan sumber pendapatan keluarganya.

"Saya nampak ada jentera besar masuk tidak sangka mereka musnahkan hutan ini, tempat kami selalu lihat penyu mendarat dan bertelur.

"Kawasan pantai yang dikenali Beting Batu Malang merupakan lubuk buat nelayan kecil menangkap ikan senangin, bawal, udang dan ketam," katanya.

Menurut Rosima, keluarganya juga tidak boleh memasuki kawasan ini untuk memancing manakala pukat pun banyak rosak terganggu dengan bot besar.