KPDNHEP gagalkan cubaan beli 1,205 liter diesel

Pegawai KPDNHEP Cawangan Kulim sedang memeriksa tong dram yang dibawa sebuah lori satu tan di sebuah stesen minyak di Mukim Terap, Serdang di sini pada Isnin.
Pegawai KPDNHEP Cawangan Kulim sedang memeriksa tong dram yang dibawa sebuah lori satu tan di sebuah stesen minyak di Mukim Terap, Serdang di sini pada Isnin.
A
A
A

KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim berjaya merampas kira-kira 1,205 liter diesel bernilai lebih RM2,000 yang cuba dibeli di sebuah stesen minyak di Mukim Terap, Serdang di sini, pada Isnin.

KPDNHEP Kulim dalam satu kenyataan berkata, ketika serbuan pada jam 10.30 pagi itu, pihaknya mendapati sebuah lori sedang mengisi minyak diesel ke dalam tujuh tong dram di stesen minyak terbabit.

Katanya, pemandu lori terbabit sempat membeli kira-kira 1,205 liter diesel dengan nilai sebanyak RM2,590.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berusia 40-an itu gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Tambah kenyataan tersebut, soal siasat yang dijalankan juga mendapati minyak tersebut dibeli untuk kegunaan jentera di kawasan pembinaan.

"Untuk makluman, minyak yang sepatutnya digunakan oleh jentera bagi kerja-kerja pembinaan adalah minyak komersil yang dibeli daripada pemborong yang sah," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan terbabit, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM12,590 termasuk sebuah lori satu tan yang membawa tujuh tong dram berisi minyak diesel terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan juga akan diambil terhadap stesen minyak tersebut di bawah peraturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar syarat lesen, iaitu membenarkan pembeli membeli minyak dan memasukkan ke dalam selain daripada tangki kenderaan," tegas kenyataan itu.