Tubuh Jawatankuasa Siasatan Khas siasat Azam Baki

Haniff Khatri
Haniff Khatri
A
A
A

SHAH ALAM – Satu Jawatankuasa Siasatan Khas (STF) disyor supaya ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kononnya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Peguam veteran, Haniff Khatri Abdulla berkata, STF itu hendaklah dianggotai oleh tiga individu iaitu pertama, seorang timbalan pendakwa raya kanan yang dilantik oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Kata Haniff Khatri, kedua ialah seorang pegawai polis berjawatan tinggi yang dilantik oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan ketiga, seorang peguam kanan swasta yang dilantik oleh Lembaga Penasihat SPRM.

“Ketiga-tiga mereka ini wajar diberi tanggungjawab di bawah STF untuk mengambil mana-mana anggota penguat kuasa lain membantu menyiasat dakwaan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya, pada Isnin.

Pada Selasa lalu, pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM selepas panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, STF yang ditubuhkan itu wajar diberikan satu tempoh untuk menyelesaikan siasatan berkenaan.

“Saya sarankan tempoh itu pada peringkat awalnya tidak boleh lebih daripada tempoh enam minggu daripada tarikh ia ditubuhkan.

“Apabila selesai tempoh enam minggu tersebut, kertas siasatan wajar dimajukan terus ke Pejabat Peguam Negara tanpa melalui SPRM langsung dan Pejabat Peguam Negara yakni Peguam Negara hendaklah membuat keputusan yang mana antara lain boleh merangkumi tiga pilihan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, tiga pilihan itu adalah pertamanya: Sekiranya siasatan itu didapati belum lengkap, arahan lanjut boleh diberikan kepada STF agar ditambah tidak lebih daripada tiga minggu untuk menyelesaikan arahan siasatan lanjut dan dimajukan kertas siasatan terbabit kepada Peguam Negara.

“Kedua, sekiranya didapati siasatan itu tidak mendedahkan kelakuan apa-apa jenayah langsung, maka satu kenyataan rasmi media hendaklah dikeluarkan oleh Peguam Negara dengan menyeluruh, lengkap dan telus supaya setiap hasil siasatan itu didedahkan dengan sebaik mungkin untuk memelihara nama baik pihak penguat kuasa, pengadu, hak pengadu serta hak orang yang diadu.

“Ketiga, sekiranya didapati bahawa hasil siasatan itu menunjukkan terdapat apa-apa jenayah telah dilakukan, maka seperti dalam kes-kes lain pertuduhan jenayah wajar diambil terhadap pihak berkenaan.

“Tetapi sekiranya hasil siasatan menunjukkan kesalahan itu tidak sampai ke tahap jenayah, tetapi cuma satu pelanggaran peraturan-peraturan perkhidmatan awam, maka Peguam Negara wajar membuat rekomendasi pengambilan tindakan tatatertib terhadap pihak berkenaan supaya pihak berkuasa yang terbabit dapat teruskan dengan permulaan notis tunjuk sebab ke arah tindakan disiplin itu,” jelas Haniff Khatri.

Pada masa sama beliau menegaskan, bahawa permintaan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan terhadap perkara ini adalah pramatang kerana belum ada siasatan dilakukan.