Peter lantik peguam baharu

Peter
Peter
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin diberitahu bahawa bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony melantik peguam baharu bagi mengendalikan kes bela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada 2014.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di universiti itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, pihak pembelaan bersetuju agar kehadiran Peter dalam prosiding pada Isnin dikecualikan atas alasan pihak pembelaan telah memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan.

Ini kerana katanya, pihak pembelaan baharu sahaja dilantik untuk mewakili bekas Naib Presiden Parti Warisan itu.

“Izinkan saya memperkenalkan pasukan pembelaan bagi pihak Peter yang diwakili peguam S Devanandan dan Datuk D Senthinathan,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini, peguam yang mengendalikan kes itu ialah Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berkata, pihaknya belum menerima pernyataan pembelaan sebagaimana yang dijanjikan dalam prosiding terdahulu.

Mendengar perkara itu, Devanandan berkata, pihaknya memberi akujanji akan menyerahkannya dalam tempoh seminggu kerana mereka belum bertemu dengan Peter dan perlu mendapatkan arahan daripada anak guam terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Wan Shaharuddin turut memohon agar pihak pembelaan dapat menyerahkan pernyataan saksi seminggu sebelum prosiding.

Devanandan: Ya boleh, jika kami bercadang untuk menggunakan pernyataan saksi, kami akan serahkannya.

Azura: Cukupkah jika mahkamah tetapkan tiga hari sahaja untuk prosiding bermula 16 hingga 18 Februari?

Devanandan: Tak cukup Yang Arif, sebab kita tidak tahu perjalanan pemeriksaan balas kelak.

Azura: Ok

Devanandan: Kita bercadang untuk memanggil empat saksi sahaja, Peter dan tiga yang lain.

Wan Shaharuddin: Jika sebelum ini pembelaan cadang untuk memanggil lapan saksi.

Devanandan: Ya.

Mahkamah kemudian menetapkan sambung bicara bagi kes itu bermula pada 9, 10, 16, 17 dan 18 Februari depan.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah sama memerintahkan Peter, 51, untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.