Andalusia, jemaah tanggung kerugian

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berikutan penularan Covid-19 varian Omicron akan memberi kesan besar kepada banyak pihak.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris berkata, kerugian besar akan ditanggung oleh banyak syarikat pengendali umrah dan haji, jemaah umrah dan pihak penerbangan kerana keputusan terburu-buru oleh kerajaan itu.

Menurutnya, semua syarikat pengendali umrah dan haji termasuk Andalusia terkejut dengan keputusan kerajaan itu tanpa memikirkan pelan alternatif lain yang boleh dipraktikkan terlebih dahulu sebelum keputusan penangguhan itu dibuat.

“Kami sendiri agak terkejut dengan tindakan terburu-buru ini dan kami rasa ada langkah pencegahan lain yang boleh diambil. Malah, kami agak kesal kerana ketika keputusan penangguhan itu dibuat, tiada perbincangan dengan pihak industri.

“Kami dimaklumkan ada perbincangan dengan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), tetapi persatuan sebenar yang mereka harus berbincang adalah Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang diiktiraf di bawah akta.

“Saya difahamkan perbincangan itu juga bukan merupakan satu perbincangan yang menyeluruh atau bertanyakan soalan mengenai apa impak penangguhan ini. Ia cuma satu kenyataan diberikan dan langkah penangguhan ini terus diambil oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, kerajaan telah menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu bermula 8 Januari sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan penangguhan itu bagi membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ida Riswana menjelaskan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh syarikatnya melalui wang yang telah dibayar oleh jemaah umrah adalah sekitar RM6 juta.

“Untuk tahun sebelum ini iaitu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sudah tanggung RM15 juta kerugian. Sebab itu, kami merayu kepada kerajaan agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Jemaah umrah yang tertangguh untuk menjalani umrah ketika ini adalah seramai 8,000 orang.

Ida Riswana Idris
Ida Riswana Idris

“Bayaran yang telah dibayar kepada Arab Saudi dan sebagainya adalah sekitar RM8 juta melibatkan hotel dan tiket penerbangan. Jadi, semua itu tidak boleh dipulangkan.

“Kami jangkakan kerugian yang terlepas bayar dan tidak boleh pulang balik ini sekitar RM6 juta. Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana ia satu kerugian yang besar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, jemaah umrah turut kerugian hampir 80 peratus daripada apa yang mereka telah bayar berdasarkan pakej umrah yang telah diambil.

Katanya, penangguhan ini tidak boleh dilakukan seperti mana tempoh PKP dahulu yang berlanjutan hingga 18 bulan.

“Ia satu penderitaan kepada jemaah umrah dengan berjuta juta ringgit akan habis begitu sahaja hanya kerana satu keputusan. Saya sebenarnya agak simpati dengan jemaah.

“Kami dihujani dengan banyak panggilan telefon yang bertanyakan tentang situasi ini kerana masing-masing sudah membuat bayaran tempahan dan sebagainya.

“Apa yang mereka bayar itu tidak boleh dipulangkan kerana larangan perjalanan ini berlaku di Malaysia sahaja. Larangan ini bukan daripada pihak Arab Saudi, jadi Arab Saudi tidak akan pulangkan semula duit yang sudah dibayar,” katanya.

Bimbang

Dalam pada itu, Ida Riswana juga melahirkan kebimbangan pandangan Arab Saudi terhadap Malaysia susulan kerajaan menangguhkan perjalanan jemaah umrah ke negara tersebut.

Menurutnya, ia kemungkinan besar akan memberikan kesan kepada negara terutama untuk mendapatkan kuota ibadah haji yang lebih baik pada tahun ini.

“Apabila kerajaan ambil langkah sebegini, apa yang Arab Saudi fikirkan tentang kita? Daripada banyak-banyak negara, mereka benarkan negara kita yang kecil ini masuk ke negara mereka walaupun jumlah kes Covid-19 di negara kita masih tinggi.

“Negara seperti India, Pakistan dan Indonesia adalah penyumbang utama jemaah kepada Arab Saudi, tetapi tidak dibenarkan masuk. Bagi saya, ia satu penghormatan kepada Malaysia.

“Sepatutnya, sebagai sebuah negara, Malaysia boleh berbincang dahulu dengan Arab Saudi dan memikirkan alternatif yang boleh dibuat sebelum melaksanakan keputusan penangguhan ini,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah keputusan penangguhan ini akan membolehkan varian Omicron itu tidak merebak dengan lebih teruk di negara ini.

Ida Riswana Idris
Ida Riswana Idris

Beliau memahami ada jemaah umrah yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebaik pulang daripada umrah, namun langkah mengetatkan pengawasan terhadap jemaah mungkin boleh dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kami juga setuju jika kerajaan mahu mengenakan denda atau hukuman kepada jemaah umrah yang tidak ikut SOP dan tidak menjalani kuarantin. Tetapi, kerajaan tidak sepatutnya pukul rata menghukum semua jemaah umrah yang mahu pergi umrah.

“Sebab itu, ada cara yang boleh dibuat terlebih dahulu dan bukan membuat keputusan menangguhkan perjalanan umrah. Kami dan banyak lagi agensi pengendali umrah baru hendak memulakan perniagaan, malangnya ditangguhkan tidak sampai 50 hari kami beroperasi daripada bulan Oktober lalu.

“Kerajaan perlu memikirkan penderitaan agensi, jemaah dan banyak pihak lain. Arab Saudi sendiri terkesan dengan varian Omicron ini, tetapi mereka tidak ambil keputusan untuk menyekat kemasukan menunaikan umrah. Sebaliknya mereka memperketatkan SOP. Jadi, saya tidak faham kenapa Malaysia perlu tangguhkan umrah,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan memanggil semula semua syarikat pengendali umrah untuk berbincang sekali gus mendengar pendapat mereka mengenai kesan penangguhan tersebut.

Beliau mengharapkan satu langkah yang lebih baik dalam tempoh terdekat dapat dilaksanakan.

“Mungkin kesilapan melalui keputusan ini telah dibuat, tetapi kerajaan boleh memperbaikinya dengan keputusan yang berbeza dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!