9 mangsa banjir positif Covid-19

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat sembilan kes baharu positif Covid-19 membabitkan mangsa banjir pada Ahad, menjadikan keseluruhan kes positif dalam kalangan mangsa berjumlah 460 kes.

Bagaimanapun, tiada kes baharu direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS), menjadikan jumlah keseluruhan kes di PPS kekal 15 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster di PPS juga kekal satu kluster.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 63 kes lagi membabitkan penyakit berjangkit dikesan berlaku dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 2,038 kes.

“Sejumlah 42 kes dikesan menghidap jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 10 kes penyakit kulit manakala 11 kes lagi menghidap Acute Gastroenteritis (AGE),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, sebagai langkah pencegahan awal, beliau menasihatkan mangsa banjir memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

Selain itu, mereka diminta sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS.

“Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan juga perlu lebih berwaspada gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir dan melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” ujarnya.