X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Kerja pembersihan pasca banjir di Taman Seri Muda lancar

Amirudin (kiri) ketika melawat PPS di SK Taman Seri Muda, Seksyen 25 pada Sabtu. - Foto FB Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini berjalan lancar dan akan dipertingkatkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu hantaran di Facebook juga mengarahkan pihak berkaitan untuk menambah jumlah jentera dan lori pembersihan untuk melancarkan kerja tersebut.

Beliau yang turun padang ke beberapa lokasi lain untuk meninjau kerja-kerja pembersihan turut mengalu-alukan bantuan jentera dan lori dari sukarelawan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempercepatkan proses pembersihan di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini.

“Alhamdulillah proses pembersihan di Taman Seri Muda, Seksyen 2 di sini berjalan lancar dan akan ditingkatkan. Saya telah mengarahkan agar jumlah jentera dan lori pembersihan ditambah serta ditingkatkan.

“Kerajaan Selangor turut mengalu-alukan bantuan jentera dan lori dari sukarelawan, syarikat swasta dan NGO bagi mempercepatkan proses pembersihan di sini,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook pada Sabtu.

Amirudin (kiri) bertemu penduduk Taman Seri Muda, Seksyen 25 pada Sabtu. - Foto FB Amirudin Shari
Amirudin (kiri) bertemu penduduk Taman Seri Muda, Seksyen 25 pada Sabtu. - Foto FB Amirudin Shari

Dalam pada itu, Amirudin ketika melawat tapak pemindahan sementara di Seksyen 35, di sini turut menggesa pihak yang terlibat dengan proses pembersihan untuk mengangkut sampah ke pusat pengumpulan tersebut dan tidak meninggalkannya di tepi jalan.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan untuk memudahkan proses pengumpulan dan memudahkan kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) serta KDEB Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Muda, Seksyen 25, di sini yang menempatkan 1,000 mangsa banjir terkandas sejak minggu lalu.

“Saya telah membantu proses penyelamatan dan memindahkan mangsa yang terkandas di sini. Alhamdulillah semua mangsa selamat dipindahkan.

“Usaha kerajaan Selangor ketika ini adalah bertumpu kepada proses pembersihan dan pemulihan. Semoga usaha ini akan memberi manfaat buat rakyat di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!