Polis pantau pusat rekreasi di Kuala Krai

Suzaimi (kiri) dan Zul melihat keadaan air di Tangga Krai di sini.
Suzaimi (kiri) dan Zul melihat keadaan air di Tangga Krai di sini.
A
A
A

KUALA KRAI - Polis sentiasa memantau beberapa pusat rekreasi terutama di kawasan air terjun di sekitar Kuala Krai sepanjang musim tengkujuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pusat-pusat rekreasi seperti di Dabong dan Chuchoh Puteri ditutup ketika musim tengkujuh kerana ia kawasan dipercayai mempunyai risiko berlakunya limpahan air.

"Walaupun pusat-pusat berkenaan sudah ditutup tetapi polis tetap membuat tinjauan bagi memastikan tiada pengunjung menceroboh, mandi manda serta ambil kesempatan beriadah di lokasi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau keadaan air di Tangga Krai di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Seksyen Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk Kelantan, Inspektor Zul Khairi Idris.

Menurutnya, Lata Berangin yang tular dengan video lebihan air pada Khamis turut tersenarai sebagai lokasi-lokasi riadah yang ditutup ketika ini.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai lebih 300 anggota daripada pelbagai agensi sentiasa bersiap sedia untuk membantu operasi menyelamat di daerah berkenaan yang sering berdepan risiko banjir.

"Trend air sungai dilihat semakin menurun walaupun ada yang masih di paras bahaya. Namun keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan di beberapa kawasan mungkin beri kesan kepada keadaan air.

"Bagaimanapun tinjauan kami lakukan sejak awal pagi Sabtu mendapati, kebanyakan mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula kembali ke rumah untuk mengemas," katanya.

Artikel Berkaitan: