Bayaran Bantuan Wang Ihsan paling cepat dalam sejarah: PM

Ismail Sabri (kiri) mengagihkan bayaran wang ihsan kepada mangsa banjir di Parlimen Temerloh di Dewan MPT dekat Lanchang pada Sabtu.
Ismail Sabri (kiri) mengagihkan bayaran wang ihsan kepada mangsa banjir di Parlimen Temerloh di Dewan MPT dekat Lanchang pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pembayaran Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir kali ini paling cepat dalam sejarah.

Ia berikutan dalam tempoh 10 hari selepas bencana banjir berlaku beberapa negeri seperti Melaka sudah menjelaskan bantuan tersebut kepada mangsa terlibat.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan mengarahkan pembayaran segera dilakukan kerana menjadi tanggungjawab kerajaan mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat banjir.

"Kalau dulu sampai enam bulan, baru mangsa terima bantuan tersebut. Tapi kali ini, saya kata bayar segera dan tidak perlu isi pelbagai borang untuk hantar sana sini yang menyebabkan kelewatan.

"Siapa yang pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) boleh guna nama ketika mendaftar dan duit bantuan akan dibayar secara terus.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan bantuan sebanyak RM34 juta dan Pahang sudah mula membayarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Misi Bantuan Keluarga Malaysia Kepada Mangsa Banjir Parlimen Temerloh di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Lanchang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, dua negeri iaitu Pahang dan Selangor dijangka berlaku sedikit kelewatan dalam urusan pembayaran kerana jumlah mangsa yang tinggi.

"Atas sebab itu saya telah umumkan pelbagai bantuan untuk rakyat.

"Semalam (Jumaat) saya umumkan kerajaan menyediakan bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, manakala bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM20.65 juta pada 24 Disember lalu.

"Sehingga 31 Disember lalu, kita telah mengagihkan RM7.813 juta kepada 5,159 ketua isi rumah (KIR) meliputi hampir 40 peratus daripada lebih 18,000 ketua keluarga yang berdaftar di PPS," katanya.