Johor negeri terbaharu dilanda banjir

Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan. Gambar hiasan
Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas Sabah pada Jumaat malam, Johor pula menjadi negeri seterusnya dilanda banjir membabitkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat yang menempatkan seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga setakat jam 8 pagi Sabtu.

Jumlah mangsa banjir di empat negeri pula iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, PPS berkenaan dibuka mulai lewat Jumaat malam susulan hujan berterusan di daerah berkenaan sejak Jumaat.

"PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Sermin, Balai Raya Kampung Lembah Bakti, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Balai Raya Kampung Paya Lenga, Balai Raya Kampung Paya Lebar, Balai Raya Kampung Gelang Chinchin, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang.

"Kawasan terjejas melibatkan Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Paya Lenga, Kampung Paya Lebar, Kampung Gelang Chinchin, Kampung Tenang dan Kampung Sedeng," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menerusi laman web rasmi public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) https://publicinfobanjir.water.gov.my, aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat telah melebihi tahap bahaya iaitu 20.11 meter (m), manakala Sungai Lenik di Kampung Chaah, Segamat telah melebihi tahap amaran dengan 5.58 m setakat jam 8.15 pagi Sabtu.

Sementara itu, aras air Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak, juga telah melebihi paras bahaya yang mencatatkan 4.16 m, pagi Sabtu.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 504 mangsa daripada 167 keluarga pagi ini berbanding 73 mangsa daripada 17 keluarga pada Jumaat malam dalam bencana banjir di daerah Kota Marudu dan sebuah PPS baharu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga manakala PPS SK Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kemasukan mangsa ke PPS terus bertambah ekoran keadaan paras air masih tinggi. Pasukan pemantau telah membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air," menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan pada Sabtu.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir meningkat kepada 138 individu daripada 41 keluarga yang berada di sembilan PPS termasuk Surau Kampung Gedok, SK Felda Palong 1 dan Dewan Desa Dangi, setakat 8 pagi Sabtu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan seramai 295 individu yang terperangkap dalam banjir di Felda Jelai 4 di Gemas, Kampung Tengah, Kampung Geduk, Kampung Tenai, dan Kampung Baru Geduk di Gemencheh, Felda Palong 1 di Bahau, Kampung Kuala Johol, Kuala Pilah serta Kampung Tanah Datar Hilir dan Teha Homestay di Seri Menanti, diselamatkan oleh anggotanya sejak awal pagi Sabtu.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan sedikit peningkatan setakat 8 pagi Sabtu, apabila seramai 1,129 individu terjejas berbanding 1,128 orang pada Jumaat yang ditempatkan di 18 PPS melibatkan tiga jajahan iaitu 11 di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.27 m.

Hari ketiga banjir di TERENGGANU menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 451 orang daripada 128 keluarga pagi ini berbanding 433 orang daripada 123 keluarga pada Jumaat malam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memberitahu satu lagi PPS di daerah Dungun dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS adalah empat buah.

"PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang dibuka tengah malam tadi (Jumaat) menempatkan 18 mangsa daripada lima keluarga. Tiga PPS lain kekal dengan jumlah sama iaitu surau Kampung Ban Ho di Kemaman (43 mangsa, lapan keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Shukur, Dungun (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (165 orang, 55 keluarga)," menurut kenyataan itu.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan seramai 2,030 mangsa masih berada di 32 PPS melibatkan enam daerah pagi Sabtu.

Hujan lebat berterusan menyebabkan tujuh PPS kembali dibuka di Raub sebagai persediaan awal, namun setakat awal pagi Sabtu hanya satu PPS iaitu di SK Ulu Atok dihuni oleh 35 orang daripada lapan keluarga.

JPS melaporkan dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera dengan kedua-duanya menunjukkan trend menaik.

Enam sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub); Sungai Lipis di Benta (Lipis), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong); Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

Di SELANGOR, setakat 11 malam Sabtu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir atau hujan lebat bakal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.

Di MELAKA, sebanyak 96 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua PPS berikutan banjir yang kembali melanda Alor Gajah pada Jumaat malam.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata, 15 mangsa daripada lapan keluarga menghuni Balai Raya Gadek yang dibuka pada jam 3.30 pagi Sabtu manakala 81 daripada 21 keluarga dipindahkan ke SMK Seri Pengkalan yang dibuka pada jam 7 pagi Sabtu.

"Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga kini dibuka pada jam 7 pagi dan mangsa sedang dalam proses pendaftaran,” katanya.

Ketiga-tiga PPS yang ditutup Khamis lepas dibuka semula pada Sabtu berikutan banjir kembali melanda daerah Alor Gajah. - Bernama