456 mangsa ditempatkan di 8 PPS di Segamat

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir yang terkandas di Kampung Tengah, Segamat ke PPS berdekatan.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir yang terkandas di Kampung Tengah, Segamat ke PPS berdekatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Daerah Segamat menjadi daerah pertama di negeri ini yang terjejas banjir apabila seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi Sabtu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Segamat dijangka meningkat berikutan amaran cuaca buruk dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu.

"Mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang (223 mangsa daripada 73 keluarga) seterusnya Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun (160 mangsa daripada 38 keluarga).

"Selain itu, PPS turut dibuka di Balai Raya Kampung Paya Lenga (lima mangsa), Balai Raya Paya Lebar (15 mangsa daripada tiga keluarga) dan Balai Raya Kampung Gelang Chinchin (lima mangsa daripada tiga keluarga).

"Seterusnya di Balai Raya Kampung Sermin (enam mangsa), Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (36 mangsa daripada 13 keluarga) dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang (enam mangsa)," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Sementara itu, MetMalaysia menjangkakan hujan berterusan berlaku di Pontian, Kulai dan Johor Bahru pada Sabtu.

Paras air di Sungai Muar Kampung Awat Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur pula berada pada paras bahaya.

Artikel Berkaitan: