Penduduk Kampung Pasir sedia hadapi banjir

Rahmat menunjukan rumah pam air Sungai Skudai yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Pasir Johor Bahru.
Rahmat menunjukan rumah pam air Sungai Skudai yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Pasir Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengalaman rumah dinaiki air mencecah paras dua meter pada awal pagi menyebabkan penduduk di Jalan Sukun Kampung Pasir di sini mula membuat persediaan menghadapi bencana banjir kali ini.

Seorang penduduk yang ditemui, Noraini Kasim, 34, berkata, ketika banjir pada Januari lalu, dia dan ibunya, Rohani Nordin, 61, tidak menyangka air naik begitu cepat sehingga terpaksa dipindahkan anggota penyelamat menaiki bot ke pusat penempatan sementara (PPS).

Menurutnya, pertembungan air pasang besar dan hujan lebat boleh menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk yang terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Skudai.

"Banjir pada Januari lalu itu paling teruk pernah berlaku sepanjang kami sekeluarga tinggal di sini sejak 30 tahun lalu. Masa itu, air naik begitu cepat sekitar waktu Subuh. Memang tidak sempat hendak selamatkan apa-apa barang.

"Mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku itulah, kami sekeluarga membuat persiapan awal dengan menempatkan barang tertentu pada kedudukan yang lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Rahmat Baba, 65, berkata, meskipun masih terkesan dengan kejadian banjir yang berlaku pada awal Januari lalu, dia kini lebih berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca serta air pasang surut.

Katanya, dia kerap menjengah ke belakang rumah untuk melihat paras air sungai selain mengetahui jadual air pasang surut menerusi aplikasi di telefon bimbitnya.

"Jika air sungai naik mendadak disebabkan hujan dan air pasang berlaku saya akan segera menghubungi ketua kampung untuk memberitahu situasi Sungai Skudai agar rumah pam air dapat dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Bimbang peristiwa banjir besar berlaku, peralatan elektrik sudah diletakkan di tempat yang tinggi selain dokumen penting telah disimpan dengan selamat," ujarnya.

Noraini mengemas pakaian sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di Kampung Pasir Johor Bahru.
Noraini mengemas pakaian sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di Kampung Pasir Johor Bahru.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan paras Sungai Skudai di Kampung Pasir, Tampoi dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak, melepasi paras bahaya, setakat jam 11.30 tengah hari.

Sungai Skudai mencatat patas 0.53 meter berbanding aras bahaya 0.50 meter manakala Sungai Kesang pula merekodkan paras 2.56 meter berbanding 2.50 meter paras bahaya.

"Status amaran dikeluarkan terhadap Sungai Skudai berikutan ia bukan sahaja melepasi paras bahaya malah turut menunjukkan trend menaik sejak jam 11.30 pagi.

"Sungai Kesang pula masih berada pada status waspada berikutan sudah melepas paras bahaya namun masih kekal di paras 2.56 meter sejak pagi tadi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi pada Jumaat.

Ia berikutan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan peringkat buruk pula dikeluarkan terhadap Segamat dan Kluang, mulai Jumaat sehingga Sabtu berikutan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.

Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru pula diberikan amaran hujan berterusan peringkat waspada mulai Jumaat sehingga Sabtu.