Tak ke Piala ATP, status di Terbuka Australia terus misteri

Novak Djokovic
Novak Djokovic
A
A
A

NOVAK Djokovic telah menarik diri daripada pasukan Serbia untuk Piala ATP di Sydney, kata penganjur acara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelibat pemain nombor satu dunia itu sama ada akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia atau sebaliknya bulan depan.

Terdapat spekulasi sengit mengenai penyertaan Djokovic dalam kedua-dua acara, dengan pemain berusia 34 tahun itu, yang berulang kali enggan menyatakan mengenai status vaksinasinya.

Penganjur Terbuka Australia, yang bermula pada 17 Januari depan, telah menetapkan bahawa semua peserta mesti diberi vaksinasi Covid-19 atau mendapat pengecualian perubatan yang diberikan oleh panel pakar bebas.

"Novak Djokovic secara rasmi telah menarik diri daripada Piala ATP di Sydney, kami belum mempunyai maklumat terkini mengenai rancangannya untuk Terbuka Australia.

"Mengenai proses pengecualian perubatan, yang berkaitan dengan semua pemain, terdapat proses yang ketat dan bebas. Seperti semua maklumat perubatan, ia tertakluk kepada kerahsiaan," kata jurucakap Tenis Australia dalam satu kenyataan melalui e-mel.

Dalam pada itu, badan induk tenis lelaki global ATP masih mengambil pendirian tidak menjawab isu tersebut apabila diminta mengulas lanjut.

Penganjur Piala ATP berkata, pasukan Serbia kini akan diketuai oleh pemain nombor 33 dunia Dusan Lajovic.

Disebabkan ranking dunia semasa Djokovic, Serbia menerima bilangan teratas untuk acara 16 pasukan, yang berlangsung dari 1 Januari hingga 9 Januari, dan telah diundi dalam Kumpulan A bersama Norway, Chile dan Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Djokovic telah memenangi rekod sembilan gelaran Terbuka Australia, termasuk tiga yang terakhir, dan berada dalam seri tiga penjuru dalam 20 gelaran utama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal dalam senarai sepanjang zaman.

Bapanya Srdjan sebelum ini memberitahu saluran televisyen Serbia bulan lalu bahawa Djokovic mungkin akan menarik diri dari kejuaraan itu, sambil menyifatkan pendirian badan tenis Australia terhadap vaksinasi mandatori merupakan satu 'pemerasan'.

Piala ATP yang merupakan kejuaraan pembukaan musim juga menyaksikan penyisihan Austria, yang gagal memenuhi kriteria kelayakan berikutan penarikan diri Dominic Thiem dan Dennis Novak, digantikan oleh Perancis.

Rusia pula yang memenangi gelaran 2021, akan kehilangan Andrey Rublev dan Aslan Karatsev daripada pasukan itu.