Bomba guna dron pantau banjir

Nazili (kanan) bersama Zainal (dua dari kiri) bertanya khabar penduduk semasa turun padang meninjau situasi terkini banjir di Kampung Legeh, Ayer Lanas, Jeli pada Khamis.
Nazili (kanan) bersama Zainal (dua dari kiri) bertanya khabar penduduk semasa turun padang meninjau situasi terkini banjir di Kampung Legeh, Ayer Lanas, Jeli pada Khamis.
A
A
A

JELI - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia menggerakkan Unit Dron untuk membuat pemantauan di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir dalam usaha memperkasakan lagi gerak kerja agensi berkenaan.

Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Nazili Mahmood berkata, selain itu, penggunaan dron membolehkan pihaknya membuat penilaian tahap risiko lokasi yang terjejas dengan sebaik mungkin.

"Kita juga dapat menggerakan pasukan penyelamat dengan cepat melalui maklumat yang dikumpul hasil pemantauan yang dilakukan oleh unit berkenaan.

"Segala gambar yang telah ditangkap akan dikumpul dalam bentuk maklumat untuk disalurkan kepada masyarakat dengan lebih awal," katanya selepas turun padang meninjau situasi terkini banjir di Kampung Legeh, Ayer Lanas di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adnin Ibrahim.

Menurutnya, menerusi penggunaan dron itu, penduduk yang terjejas boleh berkomunikasi dengan alat tersebut menggunakan mesej suara.

Beliau berkata, dron itu juga akan digunakan untuk membuat hebahan berkait dengan situasi semasa banjir selain mengajak penduduk di kawasan rendah berpindah segera dan sebagainya.

Nazili berkata, seramai enam anggota telah dibentuk di setiap negeri untuk mengendalikan dron dalam melakukan penugasan berkait dengan JBPM.

Artikel Berkaitan:

"Unit Dron ini juga kita turut gunakan untuk kerja-kerja berkait dengan penyiasatan kebakaran sekali gus memberikan inovasi baharu dalam penugasan bomba," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazili berkata, kesemua aset-aset udara JBPM terutama tujuh buah helikopter berada dalam keadaan terbaik dan bersiap sedia untuk digerakkan bagi menghadapi musibah banjir.

Katanya, sebelum ini aset-aset itu telah digerakkan untuk menghantar bekalan makanan ke lokasi-lokasi penduduk yang terputus hubungan akibat Monsun Timur Laut.