Balak Sungai Telemong: Tiada sebarang aktiviti pembalakan dikesan

Mohd Hizamri (kiri) ketika meninjau timbunan kayu di jambatan Kampung Seri Telemong pada Rabu. -Foto ihsan JPNP
Mohd Hizamri (kiri) ketika meninjau timbunan kayu di jambatan Kampung Seri Telemong pada Rabu. -Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong seperti yang tular di laman sosial Facebook oleh orang awam pada Khamis lalu.

Pengarah JPNP Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, itu dapatan yang diperoleh hasil semakan yang dibuat melalui udara menggunakan drone di jalan Bentong, Karak berhampiran stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jambatan Sri Telemong, Bentong.

Menurutnya, sebaliknya kejadian itu berpunca daripada kepala air di kedua lokasi terbabit yang bermula di Hutan simpan Lentang susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu.

"Fakta ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran, Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm)dan bacaan hujan ini dikategorikan sebagai sangat lebat pada 18 Disember lalu.

"Jadi, kita mengesahkan kejadian kepala air di kedua-dua lokasi itu dan ia tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan di tanah kerajaan di Sungai Gapoi sepertimana yang ditularkan, kerana jarak kawasan ini adalah sejauh 16 kilometer (km) daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 km daripada jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak.

Tinjauan dilokasi pada Rabu mendapati air Sungai Gapoi adalah jernih dan tiada kesan kepala air.

"Fenomena yang berlaku di Hutan Simpan Lentang ini hampir sama seperti apa yang berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Beliau menjelaskan, Hutan simpan lentang telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak tahun 2002 dan aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya,seluas 30 hektar kawasan Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) sejak tahun 2012.

"HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan," ujarnya.

Tambah Mohd Hizamri, semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam Hutan Simpan lentang yang membawa sisa debris.

Menurutnya, sisa itu terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai-sungai tersebut.

Katanya, semakan di lapangan turut menemui pelbagai sisa batang pokok serta kayu yang terdiri daripada pelbagai spesies, di antaranya pokok hutan, durian, getah mahupun kelapa sawit, yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa debris dari kawasan luar kawasan Hutan Simpan Lentang.

"Semakan lanjut mendapati sisa-sisa pokok dan kayu yang bertaburan di atas jalan raya Bentong-Karak ini didapati telah di alihkan ke kawasan rizab jalan berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak oleh kontraktor yang di lantik oleh ANIH Berhad untuk kerja pembersihan jalan.

"Selain itu, di Jambatan Sri Telemong, bukti kejadian kepala air ini turut disokong melalui saksi kejadian iaitu pengusaha Resort Shilinmen Karak dan penduduk kampung Sri Telemong yang melihat sendiri kejadian kepala air yang membawa bersama lumpur dan sisa kayu setinggi bangunan dua tingkat," ujarnya lagi.

Sementara itu. Mohd Hizamri memaklumkan pihaknya sudah mengambil tindakan lanjut untuk memastikan sisa kayu di sungai-sungai ini dialihkan segera dan akan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Jelasnya, bagaimanapun tinjauan lanjut melalui helikopter juga akan dilaksanakan pada awal Januari tahun depan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air di dalam Hutan Simpan Lentang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya tanah kerajaan yang bersempadan dengan Hutan Simpan Lentang di sungai-sungai tersebut khususnya di kawasan yang telah berlaku bencana diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah Seksyen 10 APN 1984.

"Kerja- kerja pemulihan seperti perhutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku di masa hadapan.

"Kita juga menyarankan agar dilaksanakan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai (Buffer zone) di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlakunya hakisan yang lebih serius di masa hadapan," katanya.