Pembinaan perumahan di pintu air Sri Muda bukan punca banjir

Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa pembinaan perumahan berdekatan pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menjadi punca kawasan itu terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini. - Foto Bernama
Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa pembinaan perumahan berdekatan pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menjadi punca kawasan itu terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa pembinaan perumahan berdekatan pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menjadi punca kawasan itu terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

“Tiada kena mengena. Perumahan dan tanah ini ada pemiliknya dan kebenaran merancang telah diperoleh pada 2015 dan submission bangunan diluluskan 2017, maknanya ia mematuhi segala yang kita minta termasuk dari segi kawasan penampan dan kolam takungan bawah tanah,” kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim kepada pemberita di Taman Sri Muda pada Rabu.

Beliau mengulas video tular berkenaan seorang wanita yang mendakwa pembinaan perumahan itu sebagai punca kejadian banjir di kawasan berkenaan.

Izham berkata, kejadian banjir di Taman Sri Muda sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini adalah ekoran jumlah taburan air hujan yang luar biasa dan kejadian air pasang.

“Taman Sri Muda berada di kawasan rendah dan apabila berlaku air pasang dan ada aliran balik, kami perlu tutup pintu ini, kalau tidak air dari Sungai Rasau dan Sungai Klang akan masuk ke sini.

“Bila kami tutup, kaedah yang kami gunakan adalah pam tetapi kejadian banjir baru-baru ini menyebabkan semua pencawang elektrik tenggelam dan bekalan elektrik terputus. Dua tempat untuk proses mengepam air keluar juga terjejas iaitu di pintu air dan kolam takungan yang digantikan dengan cara manual,” katanya.

Susulan itu, katanya untuk langkah segera, kawasan Taman Sri Muda akan ditambah satu lagi pintu air yang mempunyai kuasa mengepam berkapasiti 5,100 liter sesaat yang dijangka siap dalam masa setahun dan disediakan alat mengepam air berkuasa tinggi mudah alih yang tidak bergantung kepada kuasa elektrik.

Izham berkata, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti kawasan untuk dibina lebih banyak kolam takungan atau kolam takungan bawah tanah yang lebih besar selain meningkatkan kapasiti pam untuk mengatasi isu banjir di negeri ini pada masa akan datang. - Bernama

Artikel Berkaitan: