Banjir: 77 ahli Parlimen pembangkang gesa bentuk suruhanjaya khas

Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda, Selangor yang ditenggelami air akibat banjir kilat baru-baru ini. - Foto Bernama
Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda, Selangor yang ditenggelami air akibat banjir kilat baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 77 ahli Parlimen daripada pembangkang menuntut supaya suruhanjaya khas dibentuk bagi menyiasat pengurusan banjir dan membentangkan laporan tersebut di Parlimen.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa kerajaan tidak bersedia menghadapi kejadian iklim yang luar biasa itu, malah lebih membingungkan tidak mempunyai rancangan persediaan untuk mengurangkan bencana.

Menurut mereka, sebanyak 46 nyawa dilaporkan terkorban di Selangor dan Pahang setakat ini adalah kerana ketidakberkesanan serta sikap kerajaan Persekutuan yang tidak berdaya.

“Terdapat juga masalah komunikasi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani misi mencari dan menyelamat, dengan media melaporkan bahawa angkatan tentera mengerahkan diri mereka sendiri oleh kerana air banjir telah terlalu tinggi untuk terus menunggu arahan daripada pihak atasan.

“Ini membimbangkan rakyat Malaysia kerana daripada menyelamatkan nyawa, kerajaan Persekutuan memilih untuk bermain politik kecil.

“Terdapat 32 menteri dalam kabinet (Datuk Seri) Ismail Sabri tetapi bukannya mengerahkan diri mereka untuk membantu rakyat, sebaliknya berpura-pura 'membantu' untuk peluang bergambar,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Kenyataan itu diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli Parlimen daripada pembangkang lain.

Antaranya ialah Fuziah Salleh (Kuantan), Teresa Kok (Seputeh), Natrah Ismail (Sekijang), Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Alice Lau Kiong Yieng (Lanang), Wong Hon Wai (Bukit Bendera) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu juga, mereka memaklumkan, kerajaan perlu melakukan siasatan menyeluruh dan menambah baik perkara yang perlu ditangani memandangkan banjir sudah surut di beberapa kawasan.

Mereka juga bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan sekumpulan 44 masyarakat awam serta individu Malaysia supaya kerajaan mengisytiharkan banjir tersebut sebagai bencana negara.

“Kerajaan harus memulakan dasar pro-iklim seperti pelan penyesuaian nasional, pelan pengurangan risiko bencana dan mendesak pendakwaan lebih tinggi bagi mereka yang menyumbang kepada perubahan iklim seperti penebangan hutan.

“Kerajaan Persekutuan harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ahli pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil untuk membangunkan pelan holistik bagi mengurangkan bencana serta kesan alam sekitar bergerak ke hadapan.

“Kerajaan perlu bertindak pantas. Kita perlu mengelakkan kehilangan nyawa yang tidak perlu disebabkan oleh ketidakcekapan, kelewatan dan kecuaian yang boleh dielakkan daripada awal,” ujar mereka.