Penduduk trauma, takut setiap kali hujan

Anggota PGA Bridged Tengah membantu Aba (kiri) mengambil bekalan air bersih di Kampung Orang Asli Paya Lebar pada Rabu. Gambar kecil: Saidi Anak Manap
Anggota PGA Bridged Tengah membantu Aba (kiri) mengambil bekalan air bersih di Kampung Orang Asli Paya Lebar pada Rabu. Gambar kecil: Saidi Anak Manap
A
A
A

HULU LANGAT - Penduduk Kampung Orang Asli Paya Lebar di sini masih trauma dengan bencana banjir pada 18 Disember lalu.

Saidi Anak Manap, 45, yang menceritakan semula detik cemas itu bahawa kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya memikirkan keselamatan ahli keluarganya.

"Pada masa itu, saya baharu pulang dari kerja dan makan malam apabila mendapati air sungai mula naik.

“Selepas jam 8 malam, kawasan kampung ini terputus bekalan elektrik dan keadaan gelap gelita,” katanya ketika ditemui dalam operasi pasca banjir Pasukan Gerakan Am Bridged Tengah yang membekalkan bantuan bekalan air bersih di kampung itu pada Rabu.

Saidi berkata, apabila air mencecah paras lutut, dia bersama ahli keluarganya terpaksa mengharungi air banjir dalam keadaan gelap untuk sampai ke kawasan yang lebih tinggi di kampung itu.

"Saya menggunakan lampu telefon bimbit sebagai sumber cahaya untuk membawa kanak-kanak ke tempat yang selamat.

“Kami mungkin kehilangan semua barang, namun kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kampung berkenaan, Aba Chahim, 53, berkata, bencana banjir itu adalah terburuk yang pernah dialaminya sejak tinggal di situ.

Artikel Berkaitan:

“Lebih 250 penduduk kampung ini trauma dengan kejadian banjir, kami hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dan agensi berkaitan dapat menyegerakan usaha mendalamkan sungai berhampiran serta membaiki jambatan di kampung itu.

“Kami berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan oleh pihak berkuasa khususnya polis,” katanya.