Penjual burung peliharaan rugi lebih RM10,000 akibat banjir

Hirwan menunjukkan burung yang mati akibat kesejukan.
Hirwan menunjukkan burung yang mati akibat kesejukan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kerugian lebih RM10,000 akibat banjir gelombang pertama baru-baru ini tidak mematahkan semangat seorang pemuda di Kampung Tersang di sini untuk meneruskan perniagaan menjual pelbagai jenis burung dan ayam.

Mohd Hirwan Rajiuon, 39, berkata, walaupun lebih 50 ekor ayam dan burung yang dijualnya mati akibat arus deras melalui kedai kecil di hadapan rumahnya, namun dia menganggap ia sebagai asam garam dalam perniagaan.

Pegangan utama bapa kepada empat cahaya mata itu adalah tabah, sabar dan reda untuk meneruskan perniagaan yang diceburi sejak beberapa tahun lalu, malah selalu optimis rezeki lebih besar menanti selepas ini.

Menceritakan kejadian, Mohd Hirwan berkata, dia terlebih dahulu memindahkan ibu, isteri dan anak-anaknya ke rumah saudara mereka di Pasir Mas sebaik sahaja air Sungai Golok berhampiran rumah mereka melepasi paras bahaya pada minggu lalu.

"Saya masih tinggal di rumah, tapi dikejutkan pada jam 5 pagi. Saya dengar suara bising di luar rumah, rupa-rupanya semua jiran telah bersiap untuk berpindah sebab air sudah naik mencecah satu meter di depan rumah saya.

Kedai Mohd Hiwan yang terletak di depan rumahnya di Kampung Tersang, Rantau Panjang menjadi laluan arus deras semasa banjir gelombang pertama baru-baru ini.
Kedai Mohd Hiwan yang terletak di depan rumahnya di Kampung Tersang, Rantau Panjang menjadi laluan arus deras semasa banjir gelombang pertama baru-baru ini.

"Ketika itu saya hanya dapat memandang sangkar-sangkar burung dan ayam di depan rumah. Saya hanya capai yang mana sempat sahaja sebab air naik terlalu cepat dan kenderaan juga tidak sempat dialihkan ke tempat yang tinggi.

"Ketika itu saya dapat melihat ada burung dan ayam yang sudah mati mungkin sebab lemas dan kesejukan. Barang jualan lain seperti makanan dan bekas-bekas kelengkapan burung dan ayam juga rosak," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hirwan berkata, antara jenis burung yang dijual ialah candik, merbuk, serindit, aji-aji, merpati, nuri, terkukur dan candik jambul, manakala ayam pula jenis serama dan organik.

Berdasarkan amaran pihak berkuasa mengenai hujan gelombang kedua, Hirwan berkata, dia sudah menyediakan kawasan sesuai di depan rumahnya untuk diletakkan sangkar haiwan jualannya itu.

"Saya tidak jangka air naik setinggi ini baru-baru ini. Ketika banjir pada tahun 2014 pun tidak setinggi ini. Memang terkejut, sebab itu tiada persiapan awal dibuat kecuali bawa anak dan keluarga keluar dari kawasan ini.

"Untuk gelombang kedua, saya sudah meletakkan barang-barang di tempat tinggi supaya dapat melepasi air. Insya-ALLAH, kita tawakal, semoga semuanya selamat," katanya.