Beruang matahari mati dilanggar kenderaan

Beruang matahari berkenaan dihantar ke Perhilitan Jempol untuk tindakan lanjut. Foto: PDRM
Beruang matahari berkenaan dihantar ke Perhilitan Jempol untuk tindakan lanjut. Foto: PDRM
A
A
A

KUALA PILAH - Seekor beruang matahari mati selepas dilanggar beberapa kenderaan di Kilometer 14 Jalan Seremban-Kuala Pilah pada malam Selasa.

Beruang jantan dewasa dengan anggaran berat 85 kilogram itu dilanggar beberapa kenderaan ketika melintas jalan kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, berdasarkan siasatan, terdapat sekumpulan beruang matahari dipercayai dua hingga tiga ekor telah melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan dipandu seorang wanita yang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala Kuala Pilah.

Menurutnya, selepas itu, sebuah lagi kenderaan dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Seremban juga telah melanggar beruang tersebut sebelum turut dilanggar oleh beberapa buah kenderaan.

"Akibat kejadian itu seekor daripada beruang berkenaan mati, namun kesemua pemandu terlibat selamat.

"Bangkai beruang itu telah diambil tindakan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan," katanya ketika mengesahkan laporan pada Rabu.

Sementara itu, menerusi maklum balas daripada Perhilitan Negeri Sembilan, beruang itu mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka dipercayai dilanggar oleh kereta.

"Perhilitan Jempol telah ke lokasi kejadian dan mendapati seekor beruang telah mati di dalam longkang. Bangkai haiwan itu dibawa ke pejabat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: