Mangsa banjir akui trauma, sedih mengenang kejadian menimpa

Suhaili Haron, Mohd Nor Idham Sulaiman dan Ellen Enjelina.
Suhaili Haron, Mohd Nor Idham Sulaiman dan Ellen Enjelina.
A
A
A

SHAH ALAM - Banjir teruk yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan harta benda, malah ia turut memberi tekanan perasaan dan trauma kepada mangsa terlibat.

Perkara itu diakui seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Ellen Enjelina, 34, yang kini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 di sini.

Ellen berkata, dia masih trauma apabila memikirkan nasib bapa dan ibu mentuanya yang sakit tua ketika terperangkap dalam banjir.

“Saya masih trauma dengan kejadian yang menimpa kami sekeluarga. Ketika kejadian, saya bersama bapa dan mak mentua serta dua anak kecil terperangkap dalam rumah sebelum diselamatkan pihak penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.Ellen yang bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salon juga terpaksa mengambil cuti kerana perlu menyelesaikan urusan keluarga, selain tidak mempunyai pengangkutan untuk ke tempat kerja.

“Buat masa ini, saya ambil cuti. Perlu uruskan rumah dan keluarga dahulu. Tambahan pula saya masih belum membaiki kenderaan yang dah rosak. Jadi sukar untuk saya ke tempat kerja buat masa sekarang,” luahnya.

Perkara sama turut dialami Suhaili Haron, 44, yang mengakui sehingga sekarang dia terus dibayangi jeritan jiran-jiran dan anak-anak kecil kelaparan.

“Memang meruntun jiwa sebab saya sendiri pun ada anak,” katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Mohd Nor Idham Sulaiman, 21, pula berkata, dia masih terkejut dan sedih mengenang keadaan yang terpaksa dihadapi dua orang anaknya yang masih kecil akibat terputus bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang dua hari sebelum diselamatkan, mereka sekeluarga hanya makan cekodok.

“Saya berasa sangat sedih apabila kami empat beranak terputus bekalan makanan dan hanya makan cekodok sepanjang dua hari sebelum diselamatkan,” katanya yang bekerja di kilang Nippon Paint, Seksyen 23 di sini.

Wong Lian Ann, 54, pula berkata, dia turut trauma dengan banjir besar yang berlaku di Taman Sri Muda kerana ramai yang terkandas sehingga meragut nyawa.

“Rasa trauma dan takut masih ada sebab teringatkan ramai orang terkandas dan minta tolong untuk diselamatkan. Lebih menyedihkan, ada orang tidak berjaya diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, pesara, Mohd Firdaus Ong Abdullah, 54, pula berkata, perasaan trauma yang dialaminya sekarang tidaklah seteruk orang lain kerana dia reda dengan musibah yang menimpanya sekeluarga.

“Bagi saya apa yang sudah jadi kita reda sajalah. Bukan kita yang minta. Cuma rasa terkejut sebab selama 30 tahun saya tinggal di Taman Sri Muda, tidak pernah lagi berlaku banjir seteruk ini,” luahnya.

Ditanya mengenai khidmat kaunseling atau bantuan nasihat daripada mana-mana pihak, Mohd Firdaus Ong berkata, dia ketika ini masih lagi boleh mengawal emosinya tanpa perlu menerima nasihat dan bimbingan kaunseling itu.

“Walaupun saya menghadapi tekanan, tetapi saya masih lagi boleh mengawalnya sendiri. Kebanyakan yang lain mungkin alami gangguan dari segi emosi serta trauma yang teruk dan perlu menerima nasihat tersebut,” katanya.