Balak Sungai Telemong: Pahang tunggu laporan siasatan JPNP

Wan Rosdy (kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir selepas menyampaikan sumbangan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, Pekan pada Selasa.
Wan Rosdy (kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir selepas menyampaikan sumbangan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, Pekan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang menunggu laporan lengkap siasatan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung timbunan kayu balak di Sungai Telemong, Bentong pada minggu lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laporan itu akan disiapkan JPNP dalam masa secukupnya sebelum diserahkan kepada kerajaan.

"Buat masa ini, perkara itu masih dalam siasatan dan tindakan (akan) dilakukan JPNP. Jadi kita tunggu laporan (siasatan) dulu.

“Kita tak boleh buat andaian. Tunggu sehingga siasatan selesai," katanya ketika ditemui selepas melakukan ziarah dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, Pekan pada Selasa.

Pada Khamis lalu, beberapa pengguna laman sosial Facebook memuatkan naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Susulan itu, pihak tertentu mendakwa kewujudan timbunan sisa kayu termasuk bersaiz kayu balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Dalam kejadian Sabtu lalu, empat mangsa dilaporkan meninggal dunia, sementara dua hilang dan 10 lagi selamat apabila lima kereta dihanyutkan arus deras selepas terperangkap di atas jambatan merentasi Sungai Telemong.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh diberikan kepada JPNP bagi menjalankan siasatan, Wan Rosdy berkata, pihaknya tidak meletakkan tempoh, namun ia perlu dilengkapkan seberapa segera.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, Pekan pada Selasa.
Wan Rosdy (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, Pekan pada Selasa.

"Kita kena faham, kalau nak masuk ke kawasan itu sekarang, susah juga dengan (keadaan) cuaca tidak menentu. Nyawa dan keselamatan perlu kita ambil kira.

"Tapi ini tidak bermakna (siasatan) ambil masa yang lama. Saya tidak meletakkan jangka waktu untuk mereka (JPNP), tapi tidaklah terlalu lama (untuk disiapkan). Agak-agaklah," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah secara keseluruhan.

Beliau berkata, bantuan itu akan diberikan selama enam bulan berturut-turut bagi meringankan beban mereka.

"Kita akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat daerah. Sesiapa yang membuat permohonan, kita beri.

"Kalau benar individu (mangsa) yang kehilangan segala-galanya. kita akan memberi RM200 selama enam bulan," jelas beliau.

Wan Rosdy turut menyerahkan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri Pahang kepada 77 Ketua Isi Rumah (KIR) di PPS SMK Dato’ Mahmud Mat, PPS SK Pulau Serai, PPS Kampung Ganchong Hulu dan PPS SMK Ubai bermula Selasa.