Sila log masuk terlebih dahulu.

Warga Myanmar maut ditikam rakan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai ditikam rakan senegaranya dalam pergaduhan di sebuah hostel pekerja di Taman Scientex, Senai dekat Kulai, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai, SuperintendanTok Beng Yeow berkata, mangsa yang berusia 25 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan duduk dan berlumuran darah dengan empat kesan tikaman, pada kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pergaduhan antara mangsa dan suspek disyaki berlaku selepas mereka minum minuman keras dan mabuk.

"Penyelia mangsa bertindak menghubungi polis selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pekerja Myanmar mengenai kejadian itu.

"Setiba di tempat kejadian, polis menemukan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa dan pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di dada serta rusuk akibat ditikam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beng Yeow berkata, polis turut menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain merampas beberapa barangan lain bagi siasatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat.

Beliau berkata, susulan itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai serta Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah membuat dua serbuan di sekitar bandar raya ini dan Melaka pada Isnin.

“Menerusi serbuan itu, polis menahan lima lelaki warga Myanmar berusia lingkungan antara 20 hingga 43 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan mereka kini direman hingga 2 Januari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: