[VIDEO] Reputasi SPRM sudah tercalar: Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah tercalar berikutan peletakan jawatan Profesor Dr Edmund Terence Gomez sebagai salah seorang ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid menyifatkan peletakan jawatan itu sudah cukup memberi isyarat sangat jelas terhadap kredibiliti SPRM.

“SPRM sepatutnya bertindak tegas terhadap tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang didakwa ada kepentingan bercanggah dengan kedudukannya.

“Sewajarnya satu siasatan bebas perlu dilakukan segera untuk membersihkan nama individu utama SPRM daripada tuduhan serius, sekali gus menjejaskan nama baik SPRM.

“Pemulihan negara daripada krisis politik semasa pasca Covid-19 memerlukan badan pencegahan rasuah yang penuh berintegriti dan tegas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Mujahid berkata, sekiranya SPRM tidak lagi dihormati kerana tiada tindakan atas tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya, pelabur asing tidak akan yakin untuk berniaga di Malaysia.

Beliau berkata, ia sudah pasti akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara yang sedang kritikal.

Malah, katanya, kerajaan akan terus dilabel sebagai ‘kerajaan gagal’ sekiranya bersikap berdiam diri dan membisu dengan isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Gomez yang merupakan ahli ekonomi meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa' dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.