Pelajar perolehi sijil SPM 2018 meningkat

Mohd Rosli (belakang, empat kiri), bersama pelajar cemerlang SPM 2018.
Mohd Rosli (belakang, empat kiri), bersama pelajar cemerlang SPM 2018.
A
A
A

IPOH - Biarpun keputusan Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan hari ini menunjukkan peratus penurunan berbanding 2017, namun peratus atau bilangan pelajar yang berjaya mendapatkan sijil SPM didapati meningkat.

Timbalan Pendidikan Negeri Perak, Mohd Rosli Ahmad berkata senario berkenaan turut dilihat sebagai satu pencapaian yang baik berbanding dengan peratusan pelajar yang berjaya memperolehi sijil SPM.

“Keputusan berbanding tahun ini berbanding tahun lepas tengok gred purata ada penurunan terutamanya daripada segi gred purata.

“Bagaimanapun daripada segi peratus (bilangan) pelajar yang berjaya memperolehi sijil, didapati meningkat.

“Oleh itu, ia dilihat sangat penting kerana mereka (pelajar) telah lalui sistem pendidikan selama 11 tahun dan akhirnya dapat sijil,” katanya.

Mohd Rosli berkata demikian pada sidang media sempena menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada Pengumuman Analisis Keputusan SPM Tahun 2018 di Atrium Gemilang, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Terdahulu, Mohd Rosli menyempurnakan pengumuman analisis keputusan SPM Tahun 2018 di Bilik Mesyuarat Seri Budi JPN.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman kali ini menyaksikan seramai 624 (2.06 peratus) calon SPM 2018 berjaya memperolehi keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 734 (2.20 peratus) calon pada 2017.

Sementara itu, Mohd Rosli turut berbangga berikutan jurang pencapaian bagi pelajar luar bandar serta bandar didapati semakin mengecil.

Katanya, keadaan berkenaan dilihat sangat penting kerana menggambarkan pelajar di luar bandar turut mendapat pendidikan yang baik sehinggakan pencapaian mereka semakin menyamai pencapaian pelajar di bandar.

“Jurang perbezaan pencapaian pelajar luar bandar dan bandar didapati semakin merapat

“Kita nak ucapkan terima kasih kepada warga pendidik, pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), komuniti serta semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian ini.

“Semoga sokongan ini akan berterusan untuk kita terus meningkatkan pencapaian kita,” katanya.