Covid-19: 2,897 kes baharu hari ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes Covid-19 mencatatkan sedikit peningkatan pada Selasa dengan 2,897 kes berbanding 2,757 kes pada Isnin, menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 2,746,833.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, hanya 50 kes dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

"Kes harian itu melibatkan 2,705 kes tempatan dan 192 kes import. Sebanyak 302 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 169 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Selasa.

Beliau berkata, bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,434 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,673,084.

Empat kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 226 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.93 setakat Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 434 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan 14 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3 petang Selasa.

Bagaimanapun, katanya, tiada kluster baharu yang dilaporkan pada Selasa dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

Beliau berkata, sebanyak 78 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) melibatkan 53 kes, selain penyakit kulit (17 kes), Acute Gastroenteritis (AGE) (empat kes), penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) (dua kes) dan konjunktivitis (dua kes). - Bernama

Artikel Berkaitan: