Prestasi pencapaian cemerlang calon Sarawak menggalakkan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Prestasi Pencapaian Cemerlang calon Sarawak dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 adalah menggalakkan dengan lapan pelajar mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan SPM 2018 hari ini berkata, pelajar berprestasi cemerlang berkenaan merupakan antara seramai 36,144 calon di Sarawak yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Beliau berkata dua pelajar cemerlang telah mendapat 10A+ iaitu Alvin Soo Qwan Zhou dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Bintulu dan Nur Izzah Athirah Abdul Samat dari SMK St Teresa, Kuching.

Enam pelajar cemerlang lain yang memperoleh 9A+ ialah Constance Wong Chia Yii (SMK Sg Maong, Padawan); Muhamad Hazim Isa dan Nazmi Ahmad Nizar (Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Padawan); Muhamad Maziz Azri Maznan (Sekolah Menengah Sains Miri, Miri); Allister Daniel Linggong dan Kevin Yok (SMK Merbau, Miri) .

Bagaimanapun beliau berkata pencapaian calon negeri ini mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) telah menurun kepada 5.19 pada tahun lepas daripada 5.17 pada 2017.

Beliau berkata daripada 60 mata pelajaran yang diambil calon negeri ini, 26 mata pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus.

Keputusan SPM juga boleh disemak melalui mySMS 15888 sehingga 6 petang, 20 Mac 2019 dengan menaip SPM Nombor Kad Pengenalan Angka Giliran dan hantar sms ke 15888. - Bernama

Artikel Berkaitan: