RUU Hotel: Libatkan pembangkang dalam semua perbincangan

Razman (duduk, dua dari kiri) dan Zainol Fadzi (duduk, kiri) bersama semua ADUN pembangkang ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Rabu.
Razman (duduk, dua dari kiri) dan Zainol Fadzi (duduk, kiri) bersama semua ADUN pembangkang ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak disaran untuk melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam segala proses dan libat urus sebelum pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel 2023 yang diluluskan pada Selasa.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, pihak pembangkang ketika sesi perbahasan mengemukakan cadangan agar inap desa tidak dimasukkan ke dalam takrifan enakmen tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu tidak dibuat dan diluluskan oleh kerajaan ketika sidang DUN Perak.

"Kita menyatakan pendirian untuk membela pengusaha kecil homestay (inap desa), kita minta takrifan homestay ditarik keluar supaya tidak membebankan kepada pengusaha kerana istilah itu akan tertakluk kepada perundangan. Kita usahakan untuk mengeluarkan tetapi kerajaan telah meluluskan.

"Jadi kita mohon dalam pelaksanaan nanti untuk melibatkan kita dan membela nasib pengusaha homestay khususnya di luar bandar," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Rabu.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, wakil rakyat setempat perlu dilibatkan kerana mereka mengetahui permasalahan dihadapi pengusaha khususnya di luar bandar.

Katanya, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel itu disifatkan terburu-buru dengan sesi libat urus yang dibuat dalam tempoh singkat selama dua jam sahaja.

"Cuma kita minta apabila sampai di peringkat perbincangan yang lebih detail di antara pihak kerajaan dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) dan sebagainya minta dilibatkan wakil rakyat setempat sebab melibatkan pengusaha di kawasan YB masing-masing.

"Ketika sesi perbincangan tentang fi atau caj dan sebagainya, kita harap ada jawatankuasa rentas parti diwujudkan seperti mana RUU, minta dilibatkan juga ADUN pembangkang," katanya.

DUN Perak pada Selasa meluluskan RUU Hotel Perak 2023 membabitkan pelesenan dan pengawalan hotel serta rumah penginapan di negeri ini.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas proses pengundian dilakukan.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang bacaan kali ketiga oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dengan dibahaskan 23 ADUN.

RUU itu antara lain bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 selari dengan perkembangan positif negeri Perak yang menerima semakin ramai pengunjung setiap tahun selain pembangunan pesat kemudahan penginapan seperti hotel, chalet dan resort.