Banjir: Bantuan RM1 juta kepada koperasi terjejas

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperuntukkan bantuan permulaan keseluruhannya sebanyak RM1 juta kepada koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya memahami situasi terkini dan masalah-masalah yang dihadapi oleh koperasi yang terjejas akibat banjir yang melanda ketika ini.

Menurutnya, nilai maksimum sebanyak RM30,000 akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak dan tidak hanya terhad untuk premis koperasi yang terjejas banjir sahaja.

"Sebaliknya bantuan turut disalurkan untuk membiayai kerosakan serta kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh pihak koperasi yang terjejas.

“Kedua, SKM juga membenarkan mana-mana koperasi di negeri-negeri yang terjejas dengan banjir menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen-dokumen perakaunan akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noh Omar berkata, penangguhan itu juga tidak menolak kemungkinan koperasi juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan ke satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pasca banjir selesai sepenuhnya.

Beliau berkata, ketiga adalah insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih terauditnya selepas pelarasan operasi.

“Ia akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak tujuh peratus yang boleh dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif dan keprihatinan Suruhanjaya bagi membantu koperasi menangani fasa pemulihan Covid-19 dan kesan banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara.

“Inisiatif ini akan diberikan kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 sehingga 30 November 2022,” ujarnya.