Semua empangan di Selangor terkawal

Empangan Semenyih antara enam empangan di Selangor yang berada pada tahap 100 peratus terkawal. (Gambar kecil: Izham Hashim)
Empangan Semenyih antara enam empangan di Selangor yang berada pada tahap 100 peratus terkawal. (Gambar kecil: Izham Hashim)
A
A
A

SHAH ALAM - Semua empangan di Selangor berada pada tahap 100 peratus terkawal termasuk dua daripadanya melaksanakan pelepasan air setakat jam 8 malam Ahad.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, paras air di enam empangan di negeri ini menunjukkan trend penurunan, bagaimanapn tiada perubahan di dua lagi empangan iaitu Langat dan Sungai Labu.

"Enam empangan iaitu Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menunjukkan trend menurun kecuali Langat dan Sungai Labu.

"Dua empangan iaitu Batu dan Klang Gate melaksanakan pelepasan air," katanya dalam kenyataan berhubung laporan harian status pemulihan infrastruktur Selangor pasca banjir setakat Ahad.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menggerakkan sebanyak 17 unit pam di Sungai Buloh (Batu 7 Ijok, Parit Mahang, Kampung Jeram), Sungai Selangor (Kampung Lubok, Taman Suria) dan Sungai Tengi (Sungai Johol, Kampung Kunci Air Buang).

Menurutnya, semua loji rawatan air (LRA) Semenyih, Sungai Langat, Langat 2 dan Cheras Batu 11 juga sudah beroperasi seperti biasa.

Bagi status pemulihan bekalan elektrik pula, beliau berkata, sebanyak 1, 361 daripada 1,407 pencawang yang terjejas dengan banjir pada 18 Disember lalu berjaya dipulihkan.

"Sebanyak 46 pencawang masih dalam proses baik pulih. Daripada jumlah ini, sebanyak 34 pencawang terletak di Shah Alam, selain Kuala Selangor (lima), Sepang (tiga), Banting (tiga) dan satu di Klang.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 55 daripada 67 pencawang yang terkesan akibat banjir dI Taman Sri Muda telah dipulihkan dengan 46 kawasan menggunakan genset, manakala sembilan yang lain menggunakan bekalan dari sistem grid," jelas beliau.

Menurutnya, sebanyak 284 jalan di Selangor terjejas banjir dengan empat jalan persekutuan di Sepang, Gombak dan Hulu Selangor serta tiga jalan negeri di Hulu Langat masih ditutup.

Tambah beliau, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menerima dua aduan baharu kejadian tanah runtuh di Jalan Hamzah, Kampung Budiman Seksyen U14, Shah Alam dan Jalan BU 1/1, Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, Ampang.

Katanya, JMG akan melakukan siasatan awal bagi penilaian risiko mengikut keutamaan.