Tiada pengeluaran KWSP bagi mangsa banjir, kata PM

Ismail Sabri pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kerajaan telah memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara pada ketika ini.

Menurutnya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.

"Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

"Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan, insya-ALLAH ia boleh membantu mangsa banjir," katanya pada sidang akhbar di Masjid Al-Muttaqin di sini pada Ahad.

Pada Mac lalu, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik.

Pada Ogos tahun ini pula, kerajaan mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra dengan had pengeluaran RM5,000.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga kerana ramai pencarum kini memiliki jumlah simpanan yang terlalu sedikit untuk persediaan hari tua mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan KWSP adalah untuk simpanan hari tua selepas pencen. Selepas pengeluaran khas dua kali sebelum ini, 20 peratus pencarum hanya tinggal baki RM1,000.

"Kalau RM1,000, apabila pencen nanti, automatik mereka akan jadi miskin tegar. Ini yang saya risaukan.

"Malah hampir 95 peratus daripada pencarum yang miliki baki simpanan RM1,000 itu adalah dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera. Kita kena sedar perkara ini," katanya.