Rasuah: Empat pegawai kastam dipenjara dua tahun

Keempat-empat tertuduh berjalan masuk ke Mahkamah Sesyen di sini sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Alor Setar pada Ahad.
Keempat-empat tertuduh berjalan masuk ke Mahkamah Sesyen di sini sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad selepas didapati bersalah meminta rasuah berjumlah RM22,000, dua tahun lalu.

Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Kamaruzaman Hashim, 41, Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34, Saiful Azhar Ismail, 35, dan Muhamad Izrul Ismail, 30, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama menerima sejumlah wang bernilai RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit berusia 69 tahun, yang menyimpan rokok serta mercun belum lulus kastam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 21 Mei 2019 kira-kira jam 6.30 petang di Kampung Namek Tua, Sik.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, tertuduh pertama, Kamaruzaman turut didapati bersalah kerana didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada menantu peniaga tersebut.

Kesalahan itu itu didakwa dilakukan pada jam 6.49 petang, 21 Mei 2019 di lokasi sama melalui transaksi dalam talian sebagai ganjaran kerana tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap peniaga berkenaan.

Bagi kesalahan itu, hakim turut menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dengan pelaksanaannya diarahkan berjalan serentak bersama hukuman bagi pertuduhan pertama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Khairul Nizam Abu Bakar mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 138(1) akta sama manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengemukakan rayuan, Rosman memohon kepada mahkamah agar penangguhan hukuman diberikan kepada semua anak guamnya sementara menunggu kes dikemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Ini kerana keempat-empat pegawai kastam itu sudah digantung kerja dan menanggung isteri serta anak-anak yang masih kecil selain bergelut dengan pandemik Covid-19.

Hakim kemudian membenarkan penangguhan hukuman dan mengenakan ikat jamin tambahan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas jaminan RM2,000 dikenakan pada hari pertuduhan sebelum ini.

Mereka juga perlu melaporkan diri di pejabat kastam berdekatan setiap bulan.

Kesemua tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan itu di Kompleks Mahkamah Alor Setar.