Pulau Pinang terus bantu mangsa banjir Pahang, Selangor

Penduduk meredah banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Semangat hari ini. - Foto Bernama
Penduduk meredah banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Semangat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang menghantar anggota perubatan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dan pasukan sukarelawan ‘Save City Volunteers’, bagi memenuhi keperluan dalam misi kemanusiaan khas kerajaan negeri untuk membantu mangsa banjir di Pahang dan Selangor.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya turut menghantar 75 peratus daripada ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke kawasan banjir di dua negeri itu, bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana itu di sana.

“Semua 35 PBS di Pulau Pinang juga berada dalam keadaan siap siaga yang mana sebanyak 75 peratus daripada ahli-ahli PBS kini masing-masing berada di Selangor dan Pahang, bagi membantu meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa banjir di sana.

“Pulau Pinang akan terus berhubung dan membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang, dan kerajaan negeri juga bersimpati serta turut sama bersolidariti dengan semua mangsa banjir yang masih bergelut untuk kembali kekehidupan normal,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, berbekalkan pengalaman Pulau Pinang yang pernah berdepan banjir besar pada November 2017 dan juga penglibatan dalam misi bantuan bencana banjir di Pantai Timur pada 2014, pelbagai agensi kerajaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu telah bertindak pantas.

Kon Yeow berkata, mereka bukan hanya tiba di lokasi kejadian sejak dari peringkat permulaan malah bantuan makanan, perubatan dan kelengkapan menyelamat juga dihantar tanpa henti, secara berperingkat kepada mangsa banjir.

Katanya sebagai tambahan, badan-badan korporat, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan turut bersama-sama kerajaan negeri dalam membantu apa yang diperlukan oleh mangsa banjir.

“Walaupun 17 tahun telah berlalu, Pulau Pinang tidak pernah lupa tarikh keramat 26 Disember 2004 yang mana bencana tsunami Laut Andaman telah memusnahkan sebahagian kehidupan penduduk negeri ini dan atas semangat kekitaan, Pulau Pinang berjaya bangkit semula dan suntikan inilah yang menjadi tulang belakang untuk terus bersama-sama dengan mereka yang turut menghadapi kesusahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri melalui Agenda Hijau merangkumi pendekatan Daya TahanTerhadap Kecemasan Iklim, telah menubuhkan Unit Bencana dengan penyelidikan dan pengumpulan data berhubung perkara berkaitan akan dijalankan oleh agensi negeri, Penang Green Council (PGC).

“Selaras itu juga, pelan latihan secara besar-besaran melibatkan 299 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berhubung teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan automated external defibrillator (AED), asas pertolongan cemas dan lain-lain akan dijalankan,” katanya.- Bernama