Tak adil salahkan anggota keselamatan: Mangsa banjir

Suzana menceritakan kejadian banjir di rumahnya.
Suzana menceritakan kejadian banjir di rumahnya.
A
A
A

JELEBU - Segelintir mangsa banjir di daerah ini berpendapat adalah tidak adil bagi masyarakat untuk menyalahkan anggota keselamatan dalam isu kelewatan operasi menyelamat dalam kejadian banjir baru baru ini.

Mangsa banjir di Kampung Batu Serambai di sini, Suzana Mohd Sharif, 55, berkata, hanya mereka yang berada dalam situasi banjir kali ini memahami betapa sukarnya operasi menyelamat dilakukan.

Menurutnya, faktor tanah runtuh, jalan terputus serta arus yang deras menjadikan operasi menyelamat mangsa banjir di sesetengah kawasan lambat.

"Kita tak boleh salahkan anggota keselamatan yang saya yakin dan percaya mereka sedaya upaya cuba sampai cepat di lokasi banjir, tapi tak dapat sampai segera kerana ada kekangan.

"Saya pun ada hubungi pihak bomba dan polis minta selamatkan kami bila tengok air dalam rumah dah naik sampai paras lutut, tapi diberitahu air sangat deras dan mereka menasihatkan kami untuk mencari tempat selamat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jelas Suzana, memahami risiko yang perlu hadapi pihak keselamatan dan tanpa berfikir panjang mereka terpaksa memecahkan siling rumah untuk naik ke atas bumbung.

"Bila air dah surut selepas hampir tiga jam, barulah kami turun dan selepas itu bantuan terus tiba untuk memindahkan kami ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya tahu anggota keselamatan cuba untuk membantu, buat yang terbaik dan dalam keadaan sekarang tak sepatutnya kita mencari salah sesiapa.

Artikel Berkaitan:

"Bila diri sendiri berdepan situasi sebegini baru saya tahu macam mana keadaan mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu lalui selama ini," ujarnya.

Selain itu mangsa banjir di Kampung Kuala Klawang di sini, Rubiah Tamby, 36, berkata, untuk menyelamatkan diri, dia bersama empat lagi keluarga terpaksa memecahkan pintu rumah seorang warga emas yang tidak lagi tinggal di situ.

Rubiah menggantung pakaian di tempat tinggi di rumahnya kerana bimbang banjir berulang.
Rubiah menggantung pakaian di tempat tinggi di rumahnya kerana bimbang banjir berulang.

Katanya, ketika itu rumah berkenaan yang paling selamat kerana strukturnya yang tinggi.

"Anak saudara kepada pemilik rumah yang tinggal bersebelahan rumah saya telah bertindak mengopak pintu rumah terbabit dan di situlah kami ramai-ramai duduk sementara menunggu air surut.

"Kami kena bertindak cepat kerana air naik sangat cepat dan saya hanya sempat selamatkan susu dan lampin pakai buang anak," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia bersyukur kerana menerima banyak bantuan makanan kering dan turut menerima makanan siap dimasak pada hari pertama dan kedua selepas dilanda banjir.

Katanya, pelbagai pihak turun padang menghulurkan bantuan termasuk membersihkan rumah penduduk yang terjejas.

"Tak perlulah cari salah sesiapa. Bantuan itu memang ada cuma kita kena faham dalam keadaan sekarang banyak lokasi terjejas.

"Saya kini sudah ambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan perkakasan rumah di tempat tinggi kerana bimbang banjir berulang susulan kemungkinan gelombang kedua," katanya.