Pengorbanan anggota keselamatan patut dihargai

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam bagi mencegah sebarang elemen jenayah rentas sempadan.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam bagi mencegah sebarang elemen jenayah rentas sempadan.
A
A
A

KETIKA umat Islam di negara sedang gembira merayakan Aidilfitri, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa agensi penguat kuasaan tetap bertungkus-lumus memastikan keselamatan negara terjamin.

Antaranya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mencatatkan kejayaan besar apabila pelaksanaan Op Pagar Laut 2023 bermula 9 hingga 25 April lalu, berjaya menumpaskan sebanyak 12 kes berprofil tinggi.

Op Pagar Laut di seluruh perairan negara di sepanjang 3,000 kilometer itu melibatkan jumlah penguat kuasa yang besar iaitu 800 pegawai dan anggota maritim.

Sebanyak RM13 juta nilai rampasan dilakukan membabitkan sebanyak 42 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

Daripada 12 kes profil tinggi itu, penjenayah yang berjaya ditumpaskan ialah melibatkan kes penyeludupan rokok, pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan migran dan penyeludupan barangan kawalan bersubsidi.

Dalam masa sama, Maritim juga berjaya menumpaskan kumpulan perompak bersenjata di Pelantar Producer 1, Tanjung Langsat di Johor.

Selain Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melaksanakan Op Selamat 20 bermula 20 hingga 27 April lalu memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah.

Malah, pemantauan udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) juga dijalankan bagi memantau titik panas untuk tindakan penyuraian trafik.

PDRM turut melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April lalu bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan yang dijangka berlaku kesesakan.

Selain kerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), operasi turut melibatkan semua elemen PDRM iaitu kereta peronda MPV, unit rondaan bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan dan operasi.

Tidak terkecuali, kawalan sempadan negara turut dijalankan oleh pelbagai badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ini antara bukti kesungguhan anggota keselamatan negara yang harus diberi pujian dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia sepanjang masa termasuk ketika musim perayaan.

Kita sebagai anggota masyarakat perlulah menghargai pengorbanan mereka dan sentiasa memberi kerjasama dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.