Tiada bekalan air, elektrik ganggu kerja bersih rumah

Zafri mengambil peluang mengeluarkan barang rosak dari rumah sementara menunggu bekalan air dan elektrik pulih untuk kerja-kerja pembersihan.
Zafri mengambil peluang mengeluarkan barang rosak dari rumah sementara menunggu bekalan air dan elektrik pulih untuk kerja-kerja pembersihan.
A
A
A

TEMERLOH - Meskipun kejadian banjir yang menenggelamkan Taman Mentakab Indah di sini telah surut namun penduduk tidak dapat melakukan kerja-kerja membersihkan kediaman masing-masing susulan ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi terbabit kira-kira jam 11 pagi pada Sabtu mendapati kebanyakan penduduk hanya sekadar mengeluarkan barang-barang dalam rumah yang rosak.

Bagaimanapun ada segelintir daripada mereka dilihat memulakan kerja mencuci dengan menggunakan air daripada tangki dan menggunakan generator mendapatkan bekalan elektrik bagi menghidupkan mesin 'water jet'.

Keadaan kawasan terbabit masih disaluti lumpur dan turut dipenuhi sisa banjir yang telah dikumpulkan di hadapan rumah penduduk selain kenderaan rosak yang tersadai akibat ditenggelami banjir.

Rata-rata penduduk mengakui sedikit lega apabila banjir surut namun di sebalik kelegaan itu mereka turut tergamam apabila melihat keadaan rumah selepas banjir surut.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Zafri Zaharani, 30, berkata, semua barang dalam rumah dan kereta miliknya gagal diselamatkan dalam kejadian banjir beberapa hari lalu dan mulai surut malam Jumaat.

Menurutnya, kejadian banjir itu kali kedua dialaminya sejak sejak tinggal di situ enam tahun lalu, namun menyifatkan banjir kali ini jauh lebih teruk berbanding Januari lalu.

Keadaan sekitar kawasan Taman Mentakab Indah di sini yang masih diselaputi lumpur.
Keadaan sekitar kawasan Taman Mentakab Indah di sini yang masih diselaputi lumpur.

Artikel Berkaitan:

Dia yang tinggal di rumah itu bersama isteri dan seorang anak ibarat tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua barangan tidak dapat diselamatkan.

"Mujur dalam keadaan air yang naik begitu cepat, saya dan keluarga sempat menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Zafri bagaimanapun lega apabila air telah surut selepas empat hari rumahnya ditenggelami air dan mengakui tergamam apabila melihat keadaan rumah yang diselaputi lumpur dan timbunan barang yang rosak.

"Mulanya nak bersihkan rumah tapi air dan bekalan elektrik tiada. Jadi saya buat mana yang patut dahulu termasuk keluarkan barang dari dalam rumah dengan dibantu ahli keluarga," ujarnya.

Situasi sama dilalui Mohd Din Sulaiman, 67, apabila semua barang dalam rumahnya rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

"Ada beberapa perabot dan barang elektrik yang baharu dibeli bagi menggantikan barang yang rosak akibat banjir Januari lalu juga terpaksa dibuang kali ini.

"Hanya ada rumah, harta yang lain habis rosak. Keadaan ini ibarat kami sekeluarga terpaksa memulakan kembali kehidupan baharu," ujarnya.

Mohd Din berkata, disebabkan ketiadaan bekalan air dan elektrik, kerja-kerja pembersihan rumahnya turut terganggu.

"Mujur anak-anak ada balik untuk membantu dan mereka membawa peralatan diperlukan termasuk mesin penyembur air dan generator.

"Jadi bolehlah kami sekeluarga mencuci apa yang patut," katanya.

Dalam pada itu, Hassan Ibrahim, 46, berkata, dia sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila barangan dan pakaian yang diletakkan di atas siling rumah turut rosak.

"Ingatkan dah tinggi dan selamat tapi banjir kali ini lagi tinggi hingga mencecah bumbung rumah.

Mohd Jefri menunjukkan longgokkan barang yang terpaksa dibuang akibat banjir.
Mohd Jefri menunjukkan longgokkan barang yang terpaksa dibuang akibat banjir.

"Jadi sekarang saya dan keluarga hanya pakai pakaian yang disalurkan oleh orang ramai," katanya.

Menceritakan detik banjir mula berlaku, Hassan berkata dia bersama beberapa orang penduduk yang lain membantu memindahkan kenderaan milik jiran untuk dibawa ke tempat yang lebih tinggi.

"Lepas balik rumah air sudah mula naik, jadi saya angkat mesin basuh dan barang elektrik lain ke tempat lebih tinggi.

"Air memang naik dengan cepat jadi isteri dan anak-anak dipindahkan manakala saya bermalam dalam ladang sawit berhampiran untuk memantau keadaan.

"Ketika itu air belum tinggi namun selepas beberapa jam, air naik dan menenggelamkan hampir seluruh rumah di taman ini," jelasnya.

Sementara itu, isterinya, Rosmidah Adam, 40, yang berniaga nasi lemak berkata, bahan mentah yang dibeli untuk perniagaannya juga gagal diselamatkan.

Bagi Suliawati Abdul Kadir, 42, dan Suami Mohd Jefri Yusuf, 44, pula mereka sekeluarga buntu untuk menempuh hari-hari mendatang selepas bencana ini apabila hampir kesemua barang dalam rumahnya termasuk perabot gagal diselamatkan.

"Ibaratnya kami akan kembali menjalani kehidupan dengan serba kekurangan selepas ini," katanya.