Jarak masa baharu terima dos penggalak diumum minggu depan

Kerajaan akan mengumumkan jarak masa baharu bagi suntikan dos penggalak Covid-19 minggu depan berikutan penularan varian Omicron. - Foto Bernama
Kerajaan akan mengumumkan jarak masa baharu bagi suntikan dos penggalak Covid-19 minggu depan berikutan penularan varian Omicron. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengumumkan jarak masa baharu bagi suntikan dos penggalak Covid-19 minggu depan berikutan penularan varian Omicron dalam negara ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, ia melibatkan pemendekan sela masa antara dos kedua vaksin Covid-19 dan dos penggalak.

“Minggu depan saya akan umumkan ‘interval’ baharu yang akan dipendekkan.

“Ini akan melayakkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 untuk dapatkan dos penggalak,” katanya ketika sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Sabtu.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini melibatkan 61 kes jangkitan import dan satu kes pula disyaki jangkitan tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 62 kes varian Omicron di Malaysia

Khairy berkata, berdasarkan situasi tersebut, KKM menasihatkan mana-mana individu yang berhasrat melakukan perjalanan ke luar negara untuk menerima suntikan dos penggalak khususnya mereka telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Kami amat menyarankan mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara agar menerima (suntikan) ini terutama mereka yang ingin menunaikan umrah. Data menunjukkan kes varian Omicron ini dikesan daripada mereka yang pulang dari menunaikan umrah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairy sebelum itu memaklumkan 30 kes varian Omicron dilaporkan dalam tempoh dua hari bermula 23 Disember lepas melibatkan individu yang kembali ke tanah air selepas menunaikan umrah. - Bernama