Swasta minat bina lebuh raya baharu di Kedah

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menerima sekurang-kurangnya tujuh cadangan daripada pihak swasta yang berminat dengan pembinaan lebuh raya baharu yang akan menghubungkan jalan dari Perak ke Kulim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun keputusan pemilihan jajaran lebuh raya itu akan dipertimbang dan diputuskan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum pihak swasta boleh mengemukakan cadangan lain.

"Sekarang sudah ada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) namun kita dapati pergerakan dari Perak ke Kedah tersekat-sekat selain berlaku kesesakan jalan raya di Juru, Pulau Pinang

"Kerajaan negeri akan putuskan jajaran mana yang sesuai kerana kita perlu ambil kira beberapa aspek seperti pembinaan kawasan perumahan, lapangan terbang dan perindustrian," katanya selepas Majlis Pelancaran Hasil Melalui Terminal Kad MyDebit di sini, hari ini.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu juga dilihat dapat membantu merancakkan lagi ekonomi setempat penduduk di pedalaman terutamanya di Kulim, Sik dan Baling.

"Kita ada sebab kenapa mahu bina lebuh raya itu. Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) terletak di Kulim dan kalau boleh buka lebuh raya ia ada nilai tambah kepada pelabur, selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) juga akan dibina tidak jauh dari KHTP.

"Kalau naik ke atas sikit kita boleh sampai ke Baling dan Sik, jadi bayangkan kalau pusat pembangunan sedia ada disambungkan pula dengan lebuh raya baharu ini, macam-macam program boleh dilaksanakan untuk rancakkan ekonomi setempat," katanya.

Pada 4 Mac lalu, Mukhriz berkata kerajaan Kedah mencadangkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan negeri ini dan Perak tanpa melalui Pulau Pinang, yang dijangka memberi impak besar kepada sosioekonomi penduduk di pedalaman terutama di Baling.

Artikel Berkaitan:

Cadangan itu dibuat susulan laporan media mengenai nasib penduduk Baling yang tidak banyak berubah sejak peristiwa Demonstrasi Baling 1974, malah majoriti mereka yang bekerja sebagai penoreh getah masih hidup di bawah paras kemiskinan. - Bernama