Penduduk Johor perlu siap sedia hadapi banjir: Bomba

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menasihatkan orang awam di negeri ini untuk sentiasa berwaspada dan memantau sebarang perubahan cuaca yang dilihat tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, perkara itu bagi membolehkan penduduk bersedia sekiranya berlaku fenomena hujan lebat yang boleh mengakibatkan kejadian banjir sekelip mata seperti berlaku di Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, persediaan itu juga berikutan negara kini masih dilanda musim monsun yang merangkumi taburan hujan lebih kerap berbanding kebiasaan.

"Situasi yang berlaku di Selangor perlu dijadikan pengajaran kepada semua orang, walaupun mereka mengetahui kawasan mereka bukan kawasan banjir, semua perlu bersedia. Kita kena tahu kejadian hujan lebat berterusan ini amat bahaya dan bila-bila masa boleh berlaku banjir.

"Justeru, saya berharap orang ramai terutama penduduk di negeri ini sentiasa bersedia dan memberi kerjasama sebaiknya kepada agensi berkaitan sekiranya diarahkan untuk mengosongkan premis mereka," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), kesemua 10 daerah di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dengan cuaca panas, manakala hanya Mersing sahaja dilaporkan mengalami kejadian hujan.

Bagaimanapun, status paras air di beberapa kawasan berpotensi dinaiki air iaitu di Sungai Tangkak dan Sungai Kesang masih menunjukkan trend menaik iaitu berada pada tahap waspada dengan bacaan 3.20 meter dan 2.88 meter.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, JBPM Johor juga sehingga kini sentiasa membuat pemantauan untuk mengenal pasti lokasi berpotensi dinaiki air menerusi makluman cuaca semasa dan kenaikan paras air sungai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini hanya 20 peratus daripada 1,300 kakitangan JPBM Johor sahaja yang dibenarkan bercuti untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Mereka yang bercuti ini bagaimanapun hanya dibenarkan berada di Johor sahaja, ini bagi membolehkan mereka dipanggil bila-bila masa sekiranya perlu.

"Kita juga bersimpati dengan apa yang berlaku di negeri-negeri jiran kita, yang mana sehingga kini sebanyak sembilan anggota dengan tiga bot telah dihantar untuk membantu kerja-kerja menyelamat di Selangor," katanya.