Banjir: Penternak ikan rugi lebih RM1.4 juta

Antara sangkar ikan air tawar milik penternak yang rosak dalam kejadian banjir.
Antara sangkar ikan air tawar milik penternak yang rosak dalam kejadian banjir.
A
A
A

KUANTAN - Kerugian yang ditanggung 73 penternak ikan air tawar di lima daerah terjejas akibat banjir di Pahang mencecah lebih RM1.4 juta.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kerugian sebenar dijangka lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya.

Menurut beliau, anggaran peningkatan jumlah kerugian itu mengambil kira banyak lagi sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan musnah akibat banjir ketika ini.

"Antara yang terjejas ialah estet ikan yang diuruskan ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar) apabila ditenggelami banjir.

"Keadaan itu menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Abdullah berkata, banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

"Justeru, penternak akuakultur dan juga nelayan darat diminta melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan.

"Pihak jabatan akan membuat semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tahun lalu, seramai 1,700 penternak akuakultur dan 380 nelayan darat berdaftar di negeri ini.

Menurut beliau, pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang merupakan yang tertinggi di Pantai Timur kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur.

"Pengeluaran perikanan sungai pula kira-kira 787 tan bernilai RM11.5 juta," katanya.