Jawi sedia khidmat lupus al-Quran akibat banjir

Jawi tawar perkhidmatan pelupusan al-Quran berpandukan syariat.
Jawi tawar perkhidmatan pelupusan al-Quran berpandukan syariat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Al-Quran yang rosak susulan banjir di kawasan Lembah Klang pada Sabtu lalu boleh dihantar ke Darul Kalam di Raudhatul Sakinah Taman Selasih di sini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi kemas kini di Twitter memaklumkan, perkhidmatan pelupusan al-Quran mengikut panduan syariat itu ditawarkan kepada mangsa banjir.

"Insya-ALLAH, Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam Jawi sedia membantu melupuskan al-Quran yang rosak akibat banjir mengikut panduan syariat. Boleh hubungi kami di talian atau 03-22749333 sambungan 1410," ciapan di Twitter @myJAWIKL pada Khamis.

Dalam pada itu, sumber daripada Jawi memaklumkan, pengguna boleh menghubungi nombor tertera atau boleh datang secara terus ke Darul Kalam bagi urusan tersebut.

Jelasnya, tiada sebarang caj dikenakan bagi perkhidmatan tersebut buat masa ini.

Hujan berterusan di Lembah Klang pada Jumaat dan Sabtu lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di Selangor serta Kuala Lumpur dilanda banjir.

Banjir yang dianggap terburuk itu bukan hanya menyebabkan kerosakan harta benda malah turut meragut nyawa.