Ratusan anggota bomba terjejas banjir

Muhammad Hamdan (kiri) ketika sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis.
Muhammad Hamdan (kiri) ketika sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ratusan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terjejas akibat banjir sejak Oktober lalu termasuk kehilangan tempat tinggal, namun mereka tetap memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan orang lain.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kejadian sebegitu tidak diketahui umum kerana anggota bomba tidak menularkannya di media sosial.

“Keutamaan kita adalah menyelamatkan orang lain walaupun ada anggota bomba tidak tahu di mana keluarga mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara semasa banjir," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis.

Muhammad Hamdan berkata, pihaknya bersedia menerima kritikan, namun orang ramai tidak seharusnya membuat dakwaan tidak berasas.

“Kita menerima kritikan kerana kita mungkin tidak sempurna tetapi kita cuba yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah memilih kasih dalam melakukan operasi menyelamat mangsa banjir.

"Perkara itu sama sekali bertentangan dengan komitmen kita sebagai anggota penyelamat.

"Kita sedaya upaya menyalurkan bantuan kepada semua tidak kira warganegara mahupun warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hamdan berkata, keengganan segelintir mangsa berpindah awal menyebabkan ramai mangsa yang terkandas.

"Kita telah pun memberi nasihat serta amaran, namun mereka menganggap kejadian banjir itu terkawal memandangkan banjir kerap melanda dengan paras air yang rendah," katanya.

Katanya, disebabkan perkara itu anggota bomba telah keluar dari kawasan tersebut bagi membantu kawasan lain yang terjejas.

“Air kemudian tiba-tiba naik paras dada dalam tempoh satu jam. Ketika itu, kita telah pun berada di lokasi lain dan menyebabkan bantuan di kawasan sebelum itu lambat tiba,” katanya.