ASB: Dividen 4.25 sen, bonus 0.75 sen

PNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan ASB 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - Foto PNB
PNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan ASB 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - Foto PNB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Khamis mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021).

Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit, dengan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.

Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang telah diagihkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990 adalah sebanyak RM168.5 bilion.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio yang dilakukan telah membuahkan hasil positif.

Menurutnya, prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar dan ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan.

“Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini. Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lepas.

“Alhamdulillah, pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami.

“Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12 bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” katanya sewaktu mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 secara maya di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tun Arifin berkata, ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu Covid-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Tambahnya, FBM KLCI merekodkan prestasi -7.80 peratus tahun ini setakat 22 Disember 2021, manakala Indeks utama global pula menunjukkan prestasi lebih baik yang mana S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatat pulangan sebanyak 26.3 peratus dan 11.2 peratus.

"Jumlah akaun ASB pula bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar, pihaknya berbesar hati apabila mendapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur serta jumlah pelaburan terus meningkat.

“Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan.

“PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan tahun 2021 dengan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan. Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan, jumlah aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya.

“Dalam usaha memperkukuh strategi Fokus Empat pada tahun ini, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan,” ujar beliau.