Rugi RM306,768 dua kali kena 'scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Malang berganda buat seorang wanita apabila menjadi mangsa penipuan kali kedua pinjaman wang tidak wujud sehingga mengalami kerugian berjumlah RM306,768.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa seorang peniaga berusia 52 tahun dari Bahau telah membuat laporan polis pada Jun 2020 ketika kejadian pertama.

Menurutnya, mangsa pada awalnya mencari maklumat berkaitan pinjaman wang di Facebook berikutan mengalami masalah kewangan.

"Dia kemudiannya menemui satu iklan pinjaman dan mengisi butiran peribadi serta jumlah yang mahu dipinjamnya iaitu sebanyak RM250,000 dan mangsa dihubungi suspek yang menawarkan pinjaman berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM80,454 sebagai bayaran bagi meluluskan pinjaman namun ditipu selepas tidak mendapat pinjaman yang dimohon.

"Bagaimana pun selepas sebulan, pada Julai 2020 mangsa sekali lagi dihubungi suspek yang sama dan memaklumkan mangsa perlu membatalkan pinjaman jika tidak mahu meneruskan pinjaman yang dibuat sebelum ini tetapi dikehendaki membuat bayaran bagi proses pembatalan.

"Dia juga dijanjikan akan mendapat semula wangnya sebaik selesai proses pendaftaran. Mangsa kemudian melakukan transaksi lebih 50 kali bermula dari Ogos 2020 sehingga Disember 2021 dengan jumlah RM226,314," katanya.

Chang Hook berkata, suspek turut menghubungi mangsa bagi membuat pembayaran terakhir berjumlah RM4,500 selain meyakinkan mangsa akan memulangkan duitnya dalam tempoh seminggu namun tidak dilayan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Bahau selepas menyedari dirinya ditipu kali kedua jumlah kerugian RM306,768 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.